Twitter hari ini membuat perubahan pada perkhidmatan mereka – berkenaan bagaimana kiraan had 140 aksara akan dikira dalam bulan-bulan akan datang. Seperti apa yang tertiris sebelum ini, Twitter kini mengumumkan yang mana mereka tidak lagi akan mengambil kira media yang dikongsikan bersama pada Tweet dalam kiraan 140 aksara.
Media seperti gambar, video, GIF, dan juga Quote Tweet tidak lagi akan dikira, sekaligus memberikan anda lebih aksara untuk digunakan dalam memberikan gambaran berkenaan apakah yang dikongsikan.
Disamping itu, penggunaan @namapengguna ketika membalas Tweet juga tidak lagi akan dikira, membolehkan anda membalas kepada lebih ramai pengguna tanpa risau akan tidak cukup aksara untuknya.
Selain itu mereka juga akan membenarkan pengguna melakukan Retweet ke atas tweet mereka sendiri. Ini bagi membolehkan tweet lama anda dilihat oleh pengikut sekiranya mereka terlepas pandang. Kepada pemilik laman web seperti kami ini ialah fungsi yang kami mahukan kerana kami tidak perlu lagi menaip tweet yang sama beberapa kali bagi mempromosikan kandungan laman.
Seperkara lagi yang menarik sekiranya anda memulakan tweet dengan nama pengguna (contoh @Amanz) ia akan dapat dilihat oleh kesemua pengikut akaun anda. Sebelum ini pengguna perlu meletakkan noktah (contoh .@Amanz) bagi membolehkan ia dilihat oleh semua pengguna. Sekiranya anda tidak mahu perbualan dua hala antara anda dan pengguna lain, anda perlu menekan butang reply dan kemudian menaip.
Twitter mengatakan mereka akan membawa perubahan ini dalam bulan-bulan akan datang, dan diperkenalkan secara berperingkat kepada semua.