Cari @ Amanz

Pebble merupakan salah satu jam tangan pintar yang popular dikalangan ramai peminat gajet. Mereka memulakan penawaran produk melalui KickStarter, dan hari ini mereka kembali semula ke KickStarter dan memperkenalkan tiga produk baru.

Tiga produk baru yang diperkenalkan adalah Pebble 2, Pebble Time 2 dan juga sebuah produk baru dengan sokongan 3G, iaitu Pebble Core.

Pebble 2

Pebble 2 adalah seumpama jam tangan Pebble yang telah diperkenalkan pada awalnya, tetapi kini hadir dengan rekaan yang lebih nipis dan moden, serta menyertakan sensor untuk memantau degupan jantung. Ia memfokuskan kepada arena kecergasan. Pebble 2 ini hadir dengan skrin hitam-putih bersaiz 1.26-inci, dan turut menawarkan masa penggunaan bateri sehingga 7 hari. Produk ini akan ditawarkan pada bulan September, tetapi pengguna sudah boleh membuat pembelian di Kickstarter pada harga $99.

Pebble Time 2

Pebble Time 2 pula merupakan lebih kepada sebuah jam tangan pintar dengan skrin berwarna dan turut menyertakan sokongan sensor degupan jantung. Ia turut menawarkan masa bertahan bateri sehingga 10 hari, dan berharga $169 di Kickstarter. Pebble Time 2 akan dihantar kepada pembeli bermula bulan November kelak.

Pebble Core

Dan akhir sekali sebuah produk baru yang telah diperkenalkan oleh Pebble adalah sebuah peranti boleh-pakai berbentuk kotak kecil, dinamakan sebagai Pebble Core. Pebble Core ini memfokuskan kepada mereka yang gemar berlari tetapi tidak ingin membawa bersama telefon pintar mereka. Pebble Core hadir dengan sokongan Spotify, sebuah jack untuk fon kepala, integrasi Bluetooth, dan masa bertahan bateri sehingga 9 jam apabila menggunakan pemain muzik dan GPS bersama. Pengguna boleh mamasukkan kad SIM padanya, dan ia akan mula ditawarkan bermula Januari 2017 kelak. Pebble Core ditawarkan pada harga $69 di Kickstarter.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd