Xiaomi hari ini secara rasminya telah memperkenalkan dron pintar mereka tersendiri dinamakan Xiaomi Mi Drone. Seperti beberapa produk Xiaomi lain, dron ini turut dibangunkan oleh syarikat dibawah ekosistem Mi Ecosystem, iaitu syarikat Flymi.
Xiaomi mengatakan dron masih merupakan hobi yang mahal untuk sejumlah pengguna. Disebabkan olehnya, mereka menyertai arena tersebut dan ingin membawa Mi Drone kepada lebih ramai pengguna pada harga rendah.
Xiaomi Mi Drone hadir dengan empat kipas dan sebuah kamera terbina yang mampu merakamkan video 4K menggunakannya. Untuk mengawalnya, sebuah alat kawalan khusus disediakan untuk digunakan bersama telefon pintar yang boleh dikawal untuk penerbangan dron berkenaan, selain turut digunakan untuk merakamkan gambar dan video.
Xiaomi mengatakan dron ini mempunyai bateri berkapasiti 5100mAh yang membolehkan ia terbang berterusan selama 27 minit lamanya.
Xiaomi Mi Drone ini juga hadir dengan kebolehan kembali kepada pemilik sekiranya bateri pada peranti berkenaan akan habis.
Xiaomi menawarkan dua variasi Mi Drone, iaitu yang pertama dengan kebolehan rakaman video sehingga 1080p sahaja pada harga RMB 2499, sementara versi rakaman 4K pula berharga RMB2999. Memandangkan beberapa produk berhubung Xiaomi masih tidak memasuki pasaran Malaysia lagi buat masa ini, mungkin ia sesuatu yang sukar untuk melihat dron ini dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat.