Perang konsol generasi semasa dimenangi dengan mudah oleh Sony PlayStation 4. Spesifikasi yang kurang berkuasa dan jumlah permainan eksklusif yang sedikit ialah antara penyumbang kepada kegagalan Xbox One. Satu-satunya benua dengan jumlah pengguna Xbox One yang tinggi ialah Amerika Syarikat. Di negara lain seperti Jepun, jumlah jualannya lebih rendah berbanding konsol lama seperti PlayStation 3. Bagi memastikan mereka tidak terus dibantai oleh Sony, Microsoft dilaporkan akan melancarkan dua peranti Xbox TV di acara E3 tahun ini.
Model pertama ialah Xbox TV yang berfungsi seakan Chromecast. Apabila disambungkan kepada TV, kandungan dari konsol Xbox One boleh distrim secara terus. Model kedua mempunyai fungsi yang sama dengan sokongan aplikasi universal Windows 10. Ini bermakna permainan Windows Store yang tidak memerlukan kuasa memproses yang tinggi boleh dimainkan pada model ini. Kedua-dua Xbox TV dihasilkan bukan untuk bersaing sebagai konsol tetapi hanyalah peranti penstriman.
Strategi yang agak aneh diambil oleh Microsoft. Sony mempunyai PlayStation TV beberapa tahun yang lalu tetapi kini dihentikan. Tindakan Microsoft menghasilkan peranti penstriman kandungan ini seperti tersasar dari idea asal Xbox sebagai konsol pilihan peminat tegar permainan komputer. Xbox TV pada hemat kami lebih sesuai dengan Apple yang turut membenarkan permainan kasual dimuat turun dan dimainkan. Ia mungkin mendatangkan hasil. Pada generasi lalu Nintendo Wii, konsol yang tidak berkuasa dan dipenuhi permainan kasual terjual jauh lebih banyak berbanding PlayStation 3 dan Xbox 360. Kami akan berada di E3 tahun ini dan akan memberikan berita terbaru Xbox TV ini sekiranya ia diperlihatkan kelak.