Google Mungkin Menyenaraikan Pengeluar Peranti Android Mengikut Kekerapan Penawaran Kemaskini

Google Mungkin Menyenaraikan Pengeluar Peranti Android Mengikut Kekerapan Penawaran Kemaskini

Diterbitkan pada Mei 26, 2016 oleh .

Untuk Google, salah satu masalah besar dengan platform Android adalah penawaran kemaskini semasa yang meliputi sekuriti dan pelbagai ciri-ciri baru. Mereka telah mencuba dalam beberapa kaedah, dan terkini dilaporkan, Google mungkin menyenaraikan pengeluar peranti Android yang jarang mengemaskini peranti keluaran mereka.

Google sebelum ini telah mula mengasingkan penawaran kemaskini Android dengan mula menerbitkan aplikasi terbina secara berasingan di Google Play Store dan menawarkan kemaskini melaluinya. Namun, untuk kemaskini sekuriti, ia masih perlu melalui kemaskini teras yang sering mengambil masa yang lama – malah sesetengah pengeluar tidak mengeluarkan langsung kemaskini untuk peranti keluaran mereka.

Pada tahun ini, dalam membolehkan kemaskini Android ditawarkan dengan lebih pantas kepada pengguna, Google telah mula menguji Android N beberapa bulan lebih awal berbanding sebelum-sebelum ini. Ia bertujuan bagi membolehkan pengeluar peranti bersedia dengannya sebelum ia dilancarkan kepada umum.

Untuk memastikan pengeluar peranti aktif mengemaskini peranti juga, Google dikatakan mungkin akan menyenaraikan pengeluar peranti dan syarikat telekomunikasi berdasarkan kepada kekerapan penawaran kemaskini Android. Buat masa ini, senarai berkenaan digunakan secara dalaman dan tidak didedahkan kepada umum – namun mungkin perkara berkenaan akan berubah tidak lama lagi.

Dengan menyenaraikannya kepada umum, tidak mustahil ia akan mempengaruhi pembelian peranti oleh pengguna dan membuatkan pengguna lebih memilih peranti yang mempunyai sokongan yang baik daripada pengeluar berbanding yang lain.


TIPS & ULASAN