GadgetYouth Dilancarkan – Membolehkan Pelajar Membuka Perniagaan Gajetnya Tersendiri

GadgetYouth Dilancarkan – Membolehkan Pelajar Membuka Perniagaan Gajetnya Tersendiri

Diterbitkan pada Mei 26, 2016 oleh .

Industri peranti dan gajet semakin hari semakin besar, malah setiap hari ada sahaja peranti baru yang diumumkan dan hadir ke pasaran tempatan. Ramai yang ingin mencari keuntungan dengannya dan menjual peranti sebegini namun dengan kos untuk memulakan perniagaan yang tinggi sekaligus menguburkan hasrat murni tersebut. Pada hari ini GadgetYouth telah dilancarkan, dalam membolehkan golongan muda membuka perniagaan tersebut.

GadgetYouth merupakan suatu projek dimana pelajar universiti boleh mendaftar untuk memulakan perniagaan gajet tanpa sebarang kos besar seperti membuka kedai. Ini kerana tiada sebarang kedai diperlukan, dan pelajar tersebut akan menjadi ejen yang menjualkan peranti ini. Bagi menjayakannya, pelajar tersebut perlu mengetahui mengenai peranti tersebut, dan menerangkannya kepada pembeli yang berminat.

GadgetYouth - IMG_9169

Untuk tujuan sekuriti, pembayaran oleh pelanggan terhadap ejen GadgetYouth hanya boleh dilakukan menggunakan terminal pembayaran Plug & Pay dari CIMB dan juga pembayaran melalui atas talian. Tiada sebarang pembayaran tunai terhadap ejen GadgetYouth, dan pelanggan akan menerima peranti yang dibeli dalam tempoh 3-5 hari bekerja. Ejen pula akan menerima keuntungan pembelian terkumpul pada akhir bulan. Dengan setiap pembelian yang berjaya, keuntungan akan disalurkan semula kepada pelajar tersebut dan kelas-kelas khusus seperti kursus perniagaan akan diajarkan kepada pelajar.

Antara peranti yang akan dijual oleh ejen GadgetYouth termasuklah telefon pintar, jam tangan pintar, komputer riba, peranti aksesori, dan tablet serta banyak lagi namun akan dilakukan secara berperingkat. Akses kepada laman web ini juga terhad, dimana hanya ejen yang berdaftar dapat mengaksesnya dan melakukan pembelian. Pihak GadgetYouth akan melakukan kembara ke universiti-universiti untuk sesi perkongsian dari mereka. Untuk perancangan masa hadapan, mereka juga turut menyatakan akan hadir dengan penawaran khusus untuk golongan pelajar, sepertimana penawaran peranti Apple pada harga pelajar ataupun perisian Adobe untuk golongan pelajar.

Layari: GadgetYouth

Penafian: Amanz mempunyai sebahagian pemilikan didalam GadgetYouth 


TIPS & ULASAN