Cari @ Amanz

Komputer boleh-galas seperti telah menjadi salah satu trend baru. Selepas MSI, kini HP yang mengumumkan fokus terhadap arena permainan melalui siri Omen turut memperkenalkan sebuah komputer boleh-galas mereka tersendiri – memfokuskan untuk memudahkan pengguna menikmati permainan dan kandungan realiti-maya.

Komputer boleh-galas daripada HP ini masih tidak mempunyai nama rasmi, dan masih pada peringkat ujian pembangunan. Ia hadir dengan sokongan cip Intel Core i5 atau i7, memori sehingga 32GB dan sokongan bateri terbina untuk membolehkan pengguna menggunakannya tanpa sebarang wayar bersambung ketika menikmati kandungan realiti-maya.

HP Omen VR

Arena realiti-maya semakin mendapat perhatian, dan peranti seperti HTC Vive dan Oculus Rift memerlukan komputer untuk menggunakannya. Pengeluar komputer melalui komputer boleh-galas ini dilihat ingin memudahkan pengguna memakai komputer berkenaan dan bergerak tanpa halangan wayar ketika menikmati permainan pada set realiti-maya.

Komputer boleh-galas HP ini dikatakan hadir dengan bateri yang bertahan sehingga sejam – tetapi pengguna boleh mengubah bateri kepada bateri baru tanpa perlu memadamkan komputer. HP menjayakan perkara ini dengan menyediakan sebuah bateri kecil yang mengoperasikan komputer ketika proses penukaran bateri.

HP mungkin membuat beberapa perubahan padanya lagi sebelum ia dilancarkan kepada umum kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd