Jolla merupakan salah satu syarikat telefon yang telah dimulakan oleh bekas pekerja Nokia. Mereka telah hadir dengan beberapa peranti sebelum ini, disamping membangunkan sebuah sistem operasi yang berevolusi dari Meego, iaitu Sailfish OS.
Setelah sekian lama senyapkan diri, dan dengan persaingan dalam arena peranti mudah-alih yang semakin sengit, pihak Jolla dilihat tidak berputus asa, dan telah memperkenalkan telefon pintar paling baru dinamakan sebagai Jolla C. Telefon pintar ini dijana menggunakan Sailfish OS 2.0. Hanya seribu unit ditawarkan, dan ia lebih ditujukan kepada para pembangun dan peminat platform berkenaan.
Dari segi spesifikasi, Jolla C dilengkapi skrin 5-inci dengan resolusi 720p, cip Snapdragon 212, memori 2GB RAM, kamera belakang 8-megapixel dan kamera hadapan 2-megapixel. Peranti ini turut dilengkapi dengan rangkaian 4G LTE, dan bateri berkapasiti 2500mAh yang boleh ditanggalkan.
Tidak diketahui mengapa Jolla menawarkannya secara terhad. Mungkinkah Jolla akan hadir dengan peranti berspesifikasi rendah pada masa akan datang selepas menerima maklumbalas berkaitan Jolla C ini daripada pembangun dan peminat mereka?