Skrin dengan paparan 2K sendiri dilihat telah amat memadai pada skrin telefon pintar. Namun, dengan perkembangan arena realiti-maya, dan penggunaan skrin pada set realiti-maya mahupun pada telefon pintar yang digunakan sebagai pelengkap untuknya – skrin pada resolusi lebih tinggi diperlukan.
Kini, bersempena dengannya, Samsung telah memperlihatkan sebuah skrin bersaiz 5.5-inci yang hadir dengan paparan resolusi 3840×2160 pixel. Perkara ini sekaligus membawa kadar ketumpatan pixel kepada 806PPI. Beberapa peranti sebelum ini turut telah hadir dengan skrin pada resolusi tinggi sepertinya, termasuk pada Sony Xperia Z5 Premium.
Skrin ini lebih menyasarkan kepada penggunaan bersama untuk realiti-maya. Berkemungkinan ia akan digunakan pada set realiti-maya seperti Gear VR ataupun mungkin juga ia hadir pada telefon pintar dengan sokongan DayDream kelak.