Wiko ialah nama baru di dalam arena peranti pintar di Malaysia. Oleh sebab itu pemasaran model terbaru mereka adalah agak agresif sejak kebelakangan ini. Sebelum ini kami ada menulis mengenai Wiko Robby yang mempunyai fungsi unik boleh digunakan secara terbalik kerana mempunyai sepasang mikrofon. Kini tiba giliran Wiko U Feel dan U Feel Lite pula memasuki pasaran tempatan. Mari lihat persamaan dan perbezaan dua peranti yang berkongsi nama tetapi mempunyai beberapa fungsi berlainan.
Pengimbas Cap Jari Melancar 5 Aplikasi Berbeza
Kita mulakan dengan sistem imbasan cap jari yang tidak pernah kami lihat sebelum ini. Setakat ini kita telah melihat pengimbas cap jari yang melancarkan kamera dan boleh mentatal skrin. Inovasi pada kedua-dua model U Feel ialah lima cap jari boleh diprogramkan untuk melancarkan aplikasi dengan pantas. Ibu jari boleh diprogramkan untuk melancarkan aplikasi pemain video, jari telunjuk untuk aplikasi navigasi pemanduan dan jari hantu untuk melakukan panggilan kepada kekasih. Lima aplikasi boleh dilancarkan dengan pantas dengan memasangkannya dengan lima cap jari yang berbeza. Ini sememangnya menarik dan tidak kami temui pada peranti lain di pasaran.
Android Marshmallow
Mungkin ada yang akan berkata, adakah penggunaan Android terkini boleh dikategorikan sebagai fungsi menarik? Sekiranya ia adalah pada peranti yang bukan berjenama besar dan dijual pada harga mampu milik kami rasakan ia adalah keunikan. Terdapat peranti pesaing yang dijual pada harga yang setanding tetapi masih menggunakan Lollipop. Dengan penggunaan Android Marshmallow pengguna mendapat beberapa kelebihan berbanding peranti dengan versi Android lebih lama. Pertama sekali ialah Doze yang memastikan bateri dapat bertahan lebih lama. Kedua ialah fungsi Google Now On Tap dan akhir sekali versi Android terkini menutup beberapa kerentanan yang mendedahkan peranti kepada bahaya digodam. Tambah menarik, kedua dua model Wiko U Feel mempunyai pelancar dengan kustomasi yang sedikit dan sehampir mungkin kepada stock Android.
Slot Dwi SIM Dan Kad MikroSD Tidak Berkongsi
Terdapat banyak peranti di pasaran kini menyokong penggunaan dwi-SIM. Fungsi yang dahulunya popular hanya di pasaran China kini mula mendapat sambutan pengguna tempatan. Ini memudahkan pengguna menggunakan satu SIM khas untuk panggilan dan sebuah lagi untuk langganan data. Apa yang kami sedari kebanyakan peranti “dwi-SIM” yang dilancarkan tahun ini menggunakan sistem SIM hibrid. Ini bermakna salah satu slot SIM berkongsi dengan slot untuk kad MikroSD. Pengguna terpaksa memilih untuk menggunakan dwi SIM atau menambah storan dalaman peranti. Kedua-dua model Wiko U Feel menyelesaikan masalah ini kerana mempunyai dua slot SIM bersaiz Mikro dan satu slot kad MikroSD khas.
Kita sudah bercakap tentang persamaan kedua-dua peranti ini. Bagaimana pula dengan perbezaannya? Di bawah ialah dua perbezaan ketara yang membezakan U Feel dengan U Feel Lite
Kamera Utama 13 Megapixel
Kemampuan optikal pada Wiko U Feel adalah lebih tinggi berbanding pada U Feel Lite. Kamera utama pada bahagian belakang U Feel ialah sebesar 13 Megapixel berbanding hanya 8 Megapixel pada U Feel Lite. Sensor yang digunakan ialah Sony IMX 258 yang sebelum ini ditemui pada Sony Xperia XA. Kemampuan optik yang baik ini dipadankan lagi dengan beberapa fungsi tambahan menarik Dual View yang khas pada model U Feel sahaja. Melalui mod ini gambar serta video boleh diambil menggunakan kedua-dua kamera secara serentak. Kamera hadapan 5 Megapixel pada bahagian hadapan pula dilengkapi lensa sudut lebar 100° yang memudahkan gambar diambil tanpa memerlukan sebuah kayu selfie.
Panel Belakang Dengan Rekaan Seakan Baldu
Trend semasa ialah peranti dengan panel belakang yang diperbuat dari logam. Ia mungkin unik dua atau tiga tahun yang lalu, tetapi trend terkini ini menjadikan hampir 90% peranti di pasaran sekarang kelihatan seperti klon. Ini menjadikan peranti yang dimiliki kelihatan agak bosan dan generik. Panel belakang Wiko U Feel mempunyai kemasan yang terasa seakan baldu. Ini membuatnya terasa lembut untuk disentuh dan tidak memerangkap cap jari seperti peranti berpanel logam di pasaran.
Telefon pintar U Feel dijual pada harga RM699 manakala U Feel Lite dijual pada harga RM 569 dan bagi mendapatkannya, anda boleh melawat pengedar rasmi Wiko di kedai berdekatan dengan anda dan juga mendapatkan maklumat berkenaan lokasi mereka menerusi halaman Facebook Wiko Malaysia atau pada laman rasmi mereka.
- Layari: Wiko Malaysia
Penafian: Advertorial dari Wiko