Carian
Pandang Pertama : Keluarga Asus Zenfone 3 Dengan Memori Sehingga 6GB RAM
May 31, 2016 Aman

Asus Zenfone merupakan salah satu keluarga peranti yang popular di Malaysia. Ia menawarkan kualiti binaan yang baik, dan pilihan pelbagai jenis spesifikasi dan penawaran fungsi yang berbeza mengikut apa yang diperlukan oleh pengguna. Asus sendiri menekankan sebanyak lebih 30 juta peranti Zenfone telah terjual setakat ini – dan perkara ini semestinya membuatkan Asus untuk terus hadir dengan keluarga generasi yang baru.

Dinamakan sebagai Asus Zenfone 3, sebanyak tiga variasi keluarga telah diperkenalkan dibawahnya, iaitu Asus Zenfone 3 Deluxe, Asus Zenfone 3 dan juga Asus Zenfone 3 Ultra.

Ketiga-tiga peranti ini membawakan perbezaan dari segi penawaran. Namun, salah satu perkara yang membezakan ketiga-tiganya secara terbuka adalah saiz peranti berkenaan. Asus Zenfone 3 Deluxe hadir dengan skrin bersaiz 5.7-inci. Sementara Asus Zenfone 3 pula hadir dengan rekaan skrin sedikit kecil iaitu 5.5-inci dan Asus Zenfone 3 Ultra pula membawakan rekaan paling besar iaitu bersaiz 6.8-inci.

Menjadi peranti fokus pada setiap kali pengenalan adalah peranti berspesifikasi tinggi. Untuk kali ini, Asus menyertakan pelbagai penawaran yang menarik dan terkini pada Zenfone 3 Deluxe.

Asus Zenfone 3 Deluxe

Asus Zenfone 3 Deluxe dijana menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 820, memori sehingga 6GB RAM dan ruangan storan sehingga 256GB berasaskan kepada UFS 2.0 – iaitu jenis storan yang mempunyai masa bacaan dan menulis yang lebih pantas berbanding sebelumnya, dan telah digunakan pada telefon pintar seperti Galaxy S6.

Asus Zenfone 3 Deluxe hadir dengan rekaan berasaskan logam sepenuhnya. Asus dilihat berbangga dengan rekaan mereka, dimana mereka berjaya hadir dengan rekaan yang menyembunyikan antena berbanding dengan pelbagai jenis peranti yang lain. Pada Zenfone 3 Deluxe, tiada sebarang garisan antena pada bahagian belakang telefon pintar berkenaan, ataupun pada bahagian tepi-atas.

Asus Zenfone 3 Deluxe

Asus juga tidak menyertakan logo mereka pada bahagian hadapan lagi seperti sebelum ini, dan hanya memposisikan logo mereka pada bahagian belakang, dibawah. Ini menjadikan ia kelihatan lebih kemas berbanding sebelumnya yang sering diposisikan pada bahagian hadapan.

Ketiga-tiga Asus Zenfone 3 hadir dengan sokongan rangkaian 4G LTE, dan menyokong dwi-SIM. Walaubagaimanapun, ruangan SIM kedua adalah berbentuk hibrid, dan pengguna boleh memilih sama ada ingin menggunakan kad SIM ataupun kad mikro-SD sahaja.

Asus Zenfone 3 Deluxe ini turut menyertakan ruangan pengimbas cap jari pada bahagian belakang untuk tujuan sekuriti tambahan. Disamping hanya sekuriti, pengguna turut boleh menggunakannya untuk beberapa akses pantas – sebagai contoh tap dua kali pada sensor pengimbas cap jari untuk membuka aplikasi kamera.

Asus Zenfone 3

Bercakap pada bahagian kamera, Asus dilihat menyertakan kebolehan memfokuskan dengan pantas pada kamera 23-megapixel di belakang. Beberapa kali kami mencubanya, dan ia beroperasi dengan lancar, dan ada beberapa kali kami melihat ia mengalami masalah lengah masa sedikit. Namun, memandangkan ia masih menggunakan binaan ZenUI jenis eksperimental, maka perkara ini adalah sesuatu yang difahami.

Fungsi rakaman yang dinamakan Super Resolution turut disertakan yang mengabungkan rakaman beberapa gambar dan menjadikan ia gambar pada resolusi yang sangat tinggi.

Asus Zenfone 3

Pada Zenfone 3 Deluxe, beberapa mod rakaman turut disertakan. Selain rakaman automatik, manual dan sebagainya, pihak Asus turut menyertakan sebuah mod rakaman dinamakan Children Mode. Melaluinya, pengguna boleh memainkan bunyi, dan ia akan merakamkan gambar secara automatik apabila wajah memandang kamera – sekaligus menjadikan ia salah satu fungsi yang sangat berguna sekiranya anda ingin merakamkan gambar anak anda.

Asus Zenfone 3 Deluxe juga merupakan keluarga telefon pintar pertama yang menggunakan pengecasan berasaskan USB Type-C. Namun, dari segi penawaran bateri, ia sekadar menyertakan bateri berkapasiti 3000mAh sahaja.

Dari segi sistem operasi, Asus Zenfone 3 Deluxe dijana menggunakan Android 6.0 Marshmallow dan antaramuka khusus daripada Asus, iaitu ZenUI 3.0. Daripada pengamatan kami, Asus Zenfone 3 Deluxe menawarkan bilangan aplikasi terbina yang lebih sedikit berbanding dengan telefon pintar sebelum ini, tetapi beberapa aplikasi yang hadir masih boleh dikategorikan sebagai bloatware.


Walaupun menawarkan spesifikasi yang baik, namun harga jualan Asus Zenfone 3 Deluxe adalah lebih tinggi berbanding dengan penawaran pelbagai peranti Zenfone sebelum ini yang lebih menyasarkan pengguna di rantau Asia. Menyedari perkara ini, pihak Asus turut menyediakan peranti Asus Zenfone 3 dengan spesifikasi pertengahan.

Asus Zenfone 3

Asus Zenfone 3 hadir dengan skrin bersaiz 5.5-inci berasaskan Super IPS+ LCD dan bukannya Super AMOLED seperti Deluxe. Dari segi spesifikasi, ia dijana menggunakan cip Snapdragon 625, memori sehingga 4GB RAM dan ruangan storan sehingga 64GB.

Asus Zenfone 3 menggunakan binaan berasaskan kaca pada bahagian belakang. Ini menjadikan ia lebih selesa untuk dipegang berbanding dengan Zenfone 3 Deluxe. Mungkin juga saiznya yang sedikit kecil turut memainkan peranan sama dalam menjadikan peranti ini lebih selesa ditangan.

Asus Zenfone 3

Untuk rakaman gambar, Zenfone 3 menggunakan kamera belakang 16-megapixel dan kamera hadapan 8-megapixel. Agak pelik sedikit kerana kami mendapati Asus Zenfone 3 mempunyai lebih banyak mod rakaman berbanding dengan Asus Zenfone 3 Deluxe yang hanya mempunyai beberapa mod sahaja. Dari segi perisian, ia menawarkan perkara yang lebih kurang sama, termasuk penggunaan pengimbas cap jari pada bahagian belakang.

Asus Zenfone 3

Salah satu perkara yang mungkin mengecewakan pengguna untuk Asus Zenfone 3 adalah ketiadaan lampu pada butang navigasi dihadapan – berbeza dengan Asus Zenfone 3 Deluxe.

Asus Zenfone 3


Bagi anda yang meminati peranti bersaiz besar dan ingin menggunakannya untuk membuat input atau menikmati multimedia, salah satu telefon pintar yang disediakan oleh Asus adalah Asus Zenfone 3 Ultra. Ia hadir dengan skrin bersaiz 6.8-inci dengan paparan 1080p, disamping menawarkan cip pemprosesan Snapdragon 652 dan memori sehingga 4GB RAM.

Asus Zenfone 3 Ultra

Asus Zenfone 3 Ultra

Asus Zenfone 3 Ultra ini dilihat turut menyertakan sokongan kamera seperti Asus Zenfone 3 Deluxe dan kapasiti bateri sehingga 4600mAh. Berbeza dengan kedua-dua peranti Asus Zenfone 3 lain, Zenfone 3 Ultra menyertakan pengimbas cap jari pada bahagian hadapan, di butang Home. Ini mungkin lebih praktikal kerana ia agak sukar untuk mencapai jari ke bahagian belakang ketika menggunakannya pada peranti bersaiz sebegini.


Keluarga Asus Zenfone merupakan antara peranti yang popular di pasaran tempatan, dan semestinya harga akan memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan penerimaan peranti ini di kalangan pengguna. Penggunaan cip Snapdragon dari Qualcomm menggantikan Intel sebelum ini sendiri mungkin menarik lebih ramai pengguna menggunakannya, apatah lagi dengan rekaan yang lebih baik dan premium berbanding dengan Zenfone 2 sebelum ini.

Asus Malaysia telah mengatakan mereka akan memasarkan peranti ini di Malaysia sekitar bulan Ogos kelak.

Asus Zenfone 3

Komen