Carian
Intel Core i7 Extreme Edition Dilancarkan – Pemproses Dengan 10 Teras
May 31, 2016 Effi Saharudin

Berapakah teras yang diperlukan pada pemproses untuk melakukan tugas paling berat pada peranti pintar? Menurut MediaTek jawapannya ialah 10 apabila pemproses Helio X20 dilancarkan. Namun apabila ujian penanda aras dilakukan markah yang dicatatkan tidak memberangsangkan. Dalam ujian dunia sebenar ia sekali lagi mengecewakan. Di dalam dunia mobil teras yang banyak tidak bermakna kuasa memproses yang tinggi. Ini berbeza dengan dunia PC dan Intel baru sahaja melancarkan Intel Core i7 Extreme Edition – Core i7-6950X mereka yang mempunyai 10 teras pada kelajuan 3.0 GHz setiap satu.

intel-core-i7-extreme-edition-2016Ini ialah kesinambungan dari Core i7 Extreme Edition – Core i7-5960X yang mereka lancarkan pada tahun 2014.  Cip pemproses extrem ini dibina menggunakan teknologi 14nm dan dengan teknologi Intel Turbo Boost Max 3.0 kelajuan setiap terang boleh overclock sehingga 3.8 Ghz.  Cache Core i7-6950x meningkat ke 25MB. Intel mensasarkan cip ini kepada mereka yang menghasilkan video 4K, menyunting video 360 darjah dan pemilik peranti realiti maya. Menurut mereka masa memproses video 4K menggunakan cip ini berkurangan sebanyak 25% berbanding cip yang paling berkuasa yang dihasilkan sebelum ini. Ia dengan mudah dapat memaparkan permainan video pada resolusi 4K 60 FPS dengan lancar. Kesemua papan induk X99 boleh menggunakan pemproses ini tanpa masalah.

Dengan kemampuan ekstrem harga jualan juga amat melampau kerana mencecah $1723 ( ~RM 7118) sebuah. Kepada yang mahukan cip desktop  paling berkuasa dihasilkan Intel untuk dipadankan dengan Nvidia GeForce GTX 1080, inilah cip yang akan menemukan buku dengan ruas.

 

Komen