Dengan persaingan sihat dalam arena peranti memfokuskan multimedia, pihak Lenovo turut tidak ingin ketinggalan, dan telah memperkenalkan hari ini Ideacentre Y900 yang mana menjadikan ia sebagai desktop pertama hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1080.
Pihak Lenovo tidak berkongsi spesifikasi asas yang bakal ditawarkan melalui Lenovo ideacentre Y900 ini, dan pengumuman bersempena dengan Computex 2016 ini dilihat lebih memfokuskan kepada penggunaan kad grafik berkuasa di pasaran dari NVIDIA.
Seperti ramai sedia maklum, GeForce GTX 1080 menawarkan prestasi dan penawaran grafik sehingga hampir 3 kali ganda berbanding GeForce GTX TITAN X, serta pada masa yang sama menggunakan tenaga lebih rendah.
Melalui penggunaannya, pengguna boleh menikmati permainan video pada resolusi 4K tanpa sebarang masalah, disamping turut menikmati pelbagai kandungan realiti-maya tanpa masalah menggunakannya. Selain itu, penerbit kandungan juga boleh menggunakan desktop baru ini dalam pembangunan karya mereka dengan lebih efisyen berbanding desktop lain dipasaran.
Lenovo Ideacentre Y900 ini bakal dipasarkan dengan pilihan NVIDIA GeForce GTX 1080 bermula bulan Jun 2016 kelak. Harga khusus untuk pasaran Malaysia masih tidak diketahui buat masa ini.