Zotac merupakan salah satu nama yang tidak asing dalam arena mini-PC dan beberapa bahagian perkomputeran yang lain. Terkini, dengan perkembangan arena realiti-maya yang semakin pesat, mereka juga turut memperlihatkan produk komputer boleh-galas mereka tersendiri, dipanggil sebagai ZOTAC Portable VR.
ZOTAC Portable VR hadir dengan penggunaan mini-PC tersendiri daripada Zotac, iaitu Magnus EN980 yang dijana dengan cip Intel Core i5 dan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 980. Zotac membuat perubahan pada komputer mini asal berkenaan dan menambah beberapa perkara, termasuk sokongan bateri dan juga sokongan paparan tanpa-wayar.
Melalui penawaran pihak Zotac ini, ia dilihat lebih kemas berbanding daripada penawaran beberapa pihak lain. Ini boleh dikatakan disebabkan penggunaan beg galas biasa dengan ruangan udara daripada Zotac, disamping wayar yang lebih teratur hasil penggunaan sokongan paparan tanpa-wayar.
Pada Computex 2016 ini, Zotac memperlihatkan demo komputer boleh-galas mereka ini dengan menggunakan HTC Vive. Daripada penggunaan, ia menawarkan masa bateri selama lebih kurang 1.5 jam dan seberat 4.5 kilogram.
Pihak Zotac masih belum berkongsi mengenai harga jualannya, dan menyasarkan ia untuk dijual pada suku ke-4 2016 ini. Model akhir kelak dijangka mungkin berbeza dengan apa yang diperlihatkan di Computex 2016 hari ini.