Dunia realiti-maya merupakan salah satu cabang teknologi yang semakin popular. Jika beberapa tahun lepas alatan visualnya mula dicipta, tahun ini menyaksikan pengeluar komputer mula memasarkan komputer yang menyokong realiti-maya. Jika di Mobile World Congress Barcelona kita dapat melihat pengeluar peranti mudah-alih tampil dengan pelbagai kaca mata yang menyokong realiti-maya, di acara Computex Taipei pula pengeluar komputer bersaing mengeluarkan komputer yang menyokong teknologi ini.
Umum diketahui kekuatan komputer yang ingin menjalankan kandungan realiti-maya perlu terdiri dari komponen berspesifikasi tinggi. Ini kerana janaan visual tersebut dilakukan dengan pantas, mengikut gerakan dari pengguna. MSI salah satu pengeluar komponen dan juga komputer memfokuskan permainan telah hadir dengan Backpack PC, iaitu komputer yang hadir dalam bentuk yang boleh digalas, dan turut mampu mengendalikan kandungan realiti-maya.
Memfokuskan kebebasan dan mobiliti pengguna sewaktu menikmati kandungan realiti-maya
Bagi memperkuasakan komputer beg-galas ini, MSI telah menggunakan cip pemprosesan Intel Extreme i7 lapan-teras versi yang tidak dihadkan kelajuannya. Untuk kekuasaan grafik, ia menggunakan kad grafik NVIDIA GTX 980. Terdapat beberapa maklumbalas dimana kad grafik tersebut mungkin tidak cukup berkuasa untuk menjalankan fungsi realiti maya. Kami difahamkan yang mana MSI akan hadir dengan beberapa variasi Backpack PC justeru tiada spesifikasi penuh yang diumumkan MSI termasuklah spesifikasi penting seperti kapasiti RAM dan juga storan terbina. Mungkin apabila komputer beg-galas ini sudah sedia untuk dijual, lebih maklumat mengenainya akan diperoleh. Salah satu perkara yang boleh dipuji adalah komponen komputer ini boleh ditukar ganti dan dinaik-taraf, memungkinkan kombinasi spesifikasi yang lebih tinggi dari yang asal.
Salah satu perkara yang menjadi ciri-ciri utama MSI Backpack PC ini adalah kebebasan dan mobiliti pengguna sewaktu menjalankan kandungan realiti-maya. Sehingga kini kebanyakan peranti kaca mata realiti-maya mempunyai wayar yang perlu disambungkan kepada komputer, sekaligus mengurangkan kebebasan pengguna dalam berinteraksi dengannya berikutan wayar yang biasanya akan menganggu-gugat pergerakan penggua. Dengan MSI Backpack PC, wayar peranti realiti-maya terus disambungkan pada soket yang terdapat pada bahagian atas Backpack PC ini. Dengan ini masalah kabel berselirat dapat diatasi, dan pengguna bebas untuk melakukan aktiviti, berpusing dan bergerak ke mana-mana.
Boleh ditegakkan dan boleh dinaiktaraf komponen dalaman
Dari segi kemasan, ia hadir dengan badan aluminium merangkumi bahagian hadapan sehinggalah pada bahagian rangka belakangnya. Ia juga dilihat mempunyai ruang pengudaraan yang baik, sama ada pengudaraan untuk komputer dan juga pengudaraan untuk pengguna. Pada bahagian talinya terdapat pemegang untuk membolehkan pengguna menjinjit komputer ini.Pengguna juga boleh mengoperasikan komputer ini seumpama desktop seperti komputer biasa, kerana terdapat bahagian yang menyokong posisi komputer beg galas ini untuk diletakkan dengan tegak.
Sewaktu mencuba MSI Backpack PC, boleh dikatakan ia tidak berat. Pada berat 4.5KG, ia masih boleh dianggap ringan dan saiznya juga tidak besar dan tidak berkotak. Pada berat tersebut, memusingkan badan mengikut kandungan VR tidak dirasakan leceh dan langsung tidak mengurangkan kebebasan bergerak. Namun ini juga bergantung kepada jenis permainan tersebut jika ia hanya memerlukan pengguna berada dalam keadaan statik, semestinya tiada perbezaan antara memakai komputer beg galas ini atau memakai kaca mata realiti maya yang berwayar.
Dari segi respons dan pengalaman berinteraksi dengan permainan realiti maya, MSI menyatakan yang MSI Backpack PC sesuai digunakan bersama Oculus Rift dan HTC Vive. Menerusi kerjasama MSI dengan HTC, kaca mata realiti-maya HTC Vive banyak digunakan pada komputer MSI yang menyokong realiti-maya. Paparannya sangat jelas dan responsif serta tidak menunjukkan sebarang lengah masa. Mungkin pada video diatas paparan LCD pada reruai MSI dilihat menampakkan lengah masa namun ia berikutan Backpack PC sedang menstrim paparan HTC Vive kepadanya.
Dalam permainan realiti-maya yang saya mainkan, saya sedang mengawal kapal angkasa dan perlu menembak kapal musuh yang sedang menyerang. Posisi kapal musuh terletak disekeliling saya, dan memerlukan saya untuk berpusing menembaknya. Jika pada kaca mata realiti-maya yang berwayar, gerakan yang saya lakukan adalah mustahil untuk dilakukan berikutan kewujudan wayar. Namun pada MSI Backpack PC, wayarnya yang singkat sekaligus tidak mengorbankan kebebasan saya untuk bergerak.
Dengan ciptaan komputer beg-galas yang boleh menjalankan kandungan realiti-maya, ia dilihat sebagai salah satu perubahan dalam realiti-maya dimana kini pengguna bebas untuk bergerak dan memainkannya, sekaligus menambah lebih pengalaman dalam menikmati kandungan sebegini. Harga MSI Backpack PC masih tidak diketahui namun diharapkan ia bakal ditawarkan pada harga yang setimpal dengan prestasinya dalam mempopularkan lagi fungsi realiti maya.