Emoji, ikon lukisan kecil yang semakin popular penggunaannya kerana ia lebih pantas memberitahu penerima apa yang ingin anda sampaikan dari menulis sebaris ayat. Penggunaan emoji ini semakin popular sehingga kami sedari ibu kami sendiri menggunakannya walaupun baru memiliki peranti pintar tidak sampai dua tahun. Terdapat banyak emoji rasmi yang disenaraikan oleh Unicode. Tetapi jika anda perasan rupa emoji yang anda gunakan berbeza mengikut platform. Emoji smiley pada iOS, Android, Windows 10 dan peranti Samsung berbeza rupanya dan ini mendatangkan masalah.
Ini mungkin sebab mengapa Facebook melakukan kemas kini ke atas emoji yang digunakan pada aplikasi pemesejan Messenger mereka. Mereka memperkenalkan 1500 emoji baru yang akan kelihatan sama tanpa mengira sistem operasi manakah yang digunakan oleh penghantar dan penerima. Setiap emoji juga boleh dikustomasikan mengikut warna kulit dan jantina yang dikehendaki. Kepelbagaian emoji ini diharap akan membuatkan pengguna tidak merasakan warna kulit dan jantina mereka terpinggir. Sistem emoji ini boleh digunakan bermula hari ini. Kemas kini aplikasi akan diberikan secara berperingkat. Adakah anda sudah menerimanya?