Cari @ Amanz

Pada acara Computex 2016, MSI tampak agresif dalam menghadirkan peranti komputer mereka, dimana kebanyakannya menyokong realiti-maya. MSI Backpack PC, Aegis X, Kad Grafik Twin Frozr VI dan papan induk (Motherboard) siri X99A kesemuanya direka bagi mempopularkan penggunaan realiti-maya. Bagi siri komputer riba memfokuskan permainan, MSI GT 73 dan GS 73 dihasilkan bagi menyokong agenda mereka dalam menjadi pelopor komputer permainan yang menyertakan fungsi realiti-maya serta turut mempunyai paparan skrin yang laju, dengan kadar segar-semula (refresh-rate) 120Hz.

Satu perkara yang menjadi keunikan utama kedua-dua komputer riba ini adalah paparan skrin yang mempunyai kadar segar-semula (refresh rate) yang laju iaitu 120Hz. Jika anda kerap menonton video atau memainkan permainan yang menyokong 60fps (seperti tontonan di YouTube atau permainan PS4 seperti Metal Gear Solid V), sudah tentu anda dapat merasakan perbezaan pada animasi dan juga permainan. Dengan paparan 120Hz 5ms pada komputer riba ini, ia membawakan paparan permainan yang jauh lebih sempurna, tanpa kecacatan pada pergerakan.

MSI GT 73 -IMG_9760

MSI GT 73 -IMG_9764

GT 73 Titan SLI merupakan komputer riba yang baru dibawakan pada acara ini. Ia hadir pada saiz yang besar, memandangkan ia mempunyai dua kad grafik NVIDA GeForce GTX 980 SLI. Dengan keupayaan ini, komputer riba ini bukan sahaja mampu menjalankan kandungan realiti-maya tanpa masalah, bahkan menyokong resolusi 4K pada tiga monitor berasingan pada mod Surround View. Ia juga dilengkapi dengan pembesar suara yang mempunyai fungsi ESS SABRE Hi-Fi DAC untuk kualiti audio yang tinggi.

Dari segi spesifikasi, ia hadir dengan cip pemprosesan Intel Core i7 Generasi Ke-6, paparan skrin bersaiz 17.3-inci 1920×1080 yang tidak berkilat (anti-glare) dan mempunyai 4 slot RAM DDR4 yang menyokong kapasiti RAM sehingga 64 GB. Bagi tujuan storan, sehingga 2 SSD dapat dimuatkan (512GB NVMe M.2) dan juga cakera keras 1TB.


MSI GS 73-IMG_9752

MSI GS 73-IMG_9754

Bagi GS 73, ia hadir lebih nipis berbanding GT 73 berikutan ia hanya menggunakan satu kad grafik NVIDIA GeForce GTX 970M. Ia juga hanya mempunyai dua slot RAM dengan kapasiti maksimum 32GB DDR4, dan hanya menyokong satu ruang storan SSD 512GB NVMe M.2 dan cakera keras 1TB. Komputer riba ini mempunyai paparan skrin yang sama seperti GT 73, iaitu 17.3-inci 1920×1080 dengan kadar segar semula yang tinggi, iaitu 120Hz.

Satu lagi perkara yang menarik mengenai komputer riba ini ialah meskipun ia hanya mempunyai satu kad grafik, ia masih boleh menjana dua paparan skrin yang mempunyai resolusi 4K, dan turut hadir dengan ESS SABRE Hi-Fi DAC untuk kualiti audio yang tinggi.


Berdasarkan terdapat spesifikasi yang masih tidak diketahui, seperti kapasiti RAM dan pemacu storan SSD, berkemungkinan kedua-dua komputer riba ini akan ditawarkan pada pilihan komponen yang berbeza. Ia akan mula dijual seawal bulan Ogos dengan harga GT 73 bermula 2500 USD (~ RM 10,300++) dan GS73 bermula 1700 USD (~ RM 7,000).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd