Carian
Ketahui Harga Hidangan Dengan Terperinci Menggunakan Zomato
June 5, 2016 Ikhwan Nazri

Salah satu dilema apabila memilih restoran adalah berkenaan harga hidangannya. Anda tidak mahu perkara seperti duduk dan melihat menu, kemudian terpaksa keluar berikutan bajet tidak mencukupi. Zomato merupakan salah satu startup yang ingin menyelesaikan masalah tersebut.

Zomato_company_logoZomato mungkin baru sahaja bertapak di Malaysia bermula tahun lalu namun sejak tahun 2008 lagi, ia dikenai dengan nama Foodiebay yang menyenaraikan harga-harga makanan dan minuman di sekitar bandar utama di India. Menggunakan Zomato, pengguna boleh melihat gambar menu sesetengah restoran yang direkodkan oleh pasukan Zomato sendiri, ataupun dari pengunjung serta pemilik restoran tersebut. Hal ini semestinya memudahkan pengguna dalam merangka bajet perbelanjaan mereka di restoran tersebut.

Selain dari senarai menu, pengguna juga boleh melihat gambar-gambar lokasi restoran berkenaan. Ini sekaligus memudahkan perancangan pengguna yang mungkin ingin menempah meja, atau ingin melihat jika terdapat ruang permainan untuk kanak-kanak. Ulasan dari pengunjung lain juga terdapat pada setiap restoran. Salah satu kelainan pada Zomato adalah Collections, dimana mereka menyenaraikan koleksi restoran mengikut tema tertentu dan pada bulan ini, tema Berbuka Puasa menjadi pilihan utama mereka.

Iftar in Kuala Lumpur during Ramadan 2016 Zomato

Namun salah satu kekurangan yang terdapat pada Zomato adalah senarai restorannya yang buat masa ini dilihat hanya terhad kepada Kuala Lumpur dan Selangor. Malah di Selangor kawasan yang diliputi adalah lebih kepada bandar-bandar utama, dan kawasan di luar bandar seperti Banting atau Sabak Bernam masih tidak terdapat dalam pangkalan data mereka. Meskipun begitu, mereka telah mempunyai data untuk lebih dari 10,000 restoran di Kuala Lumpur dan Selangor.

Mungkin ia akan mengambil beberapa ketika sebelum Zomato meluaskan operasi mereka bagi meliputi bandar-bandar lain. Memandangkan perkhidmatan Zomato masih lagi di peringkat awal, fungsi lain seperti menempah makanan, atau membayar menggunakan aplikasi masih lagi tidak wujud untuk pasaran tempatan.

Apapun bagi menggunakan Zomato untuk mengetahui harga menu atau ingin melihat koleksi pilihan mereka untuk berbuka puasa, anda boleh memuat-turun aplikasi mereka atau melayari laman rasmi mereka.

Komen