Cari @ Amanz

Selepas beberapa ketirisan sebelum ini, Samsung di Amerika Syarikat telah memperkenalkan telefon pintar memfokuskan ketahanan lasak mereka, iaitu Galaxy S7 Active. Versi Galaxy S7 ini membawakan beberapa ciri-ciri tambahan berbanding versi biasa yang sekadar memfokuskan kalis air sahaja.

Samsung Galaxy S7 Active

Galaxy S7 Active ini hadir dengan skrin 5.1-inci dengan paparan Quad HD, cip pemprosesan Snapdragon 820, memori sehingga 4GB RAM, dan turut menyertakan kamera belakang 12-megapixel serta kamera hadapan 5-megapixel. Seperti versi asal, ia turut hadir dengan kebolehan meluaskan ruangan storan melalui mikro-SD.

Namun, ia turut menyertakan sejumlah perbezaan. Paling ketara adalah dari segi rekaannya yang kini dilengkapi ketahanan yang lebih bagi menahan kesan hentakan dari ketinggian sekitar 5 kaki.

Samsung Galaxy S7 Active ini juga turut menyertakan bateri berkapasiti 4000mAh bersama-sama dengannya untuk menawarkan masa penggunaan yang lebih lama berbanding versi biasa.

Ia tidak diketahui lagi sama ada pihak Samsung akan menawarkan Galaxy S7 Active ini dipasaran luar Amerika Syarikat ataupun sebaliknya. Tetapi, mengikut sebelum-sebelum ini, kemungkinan besar, Samsung tidak akan membawanya untuk pasaran global.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd