Google pada Google I/O yang lepas telah membuka ruangan untuk para pengguna seluruh dunia memberikan cadangan untuk nama versi Android seterusnya yang bermula dengan huruf N. Sejak dimulakan, ia telah menerima ribuan cadangan, dan hari ini Google telah pun menamatkan penerimaan cadangan untuknya.
Melalui sebuah Tweet, Google berterima kasih kepada semua yang telah memberikan cadangan, dan mengatakan akan membuat pengumuman nama akhir Android N dalam beberapa minggu lagi.
Google kebiasaannya akan membuat penamaan versi Android berdasarkan kepada nama makanan manis yang dikenali ramai. Android M sebelum ini telah dinamakan sebagai Android Marshmallow, selain L menggunakan nama Lollipop dan K pula menggunakan nama Kitkat.
Ramai peminat Android menyasarkan nama Nutella digunakan sebagai Android N sebelum ini, tetapi seperti biasa Google mungkin mempunyai kejutan mereka tersendiri. Sama-sama kita nantikan apakah nama akhir Android N kelak.
Thanks for your submissions. We’ll reveal the new name in a few weeks! #NameAndroidNhttps://t.co/qLtDZJNe9y
— Android (@Android) June 8, 2016