Peranti yang mementingkan sekuriti dan privasi semakin mendapat tempat di pasaran kerana pengguna semakin menyedari kepentingan privasi. Maklumat di dalam peranti adalah cukup berbahaya sekiranya jatuh ke tangan pihak tidak diingini. Maklumat perbankan dam alamat contohnya adalah cukup berharga kepada pencuri identiti. Terdapat peranti Blackphone 2 dan Solarin yang menjanjikan pengguna tidak perlu risau maklumat mereka dicuri. UnaPhone Zenith ialah sebuah lagi peranti yang memasuki pasaran peranti mementingkan sekuriti serta privasi.
Ia sebuah peranti yang menggunakan UnaOS yang berasaskan Android Marshmallow. Sistem operasi ini dihasilkan dengan kerjasama Tutanota yang terkenal dengan sistem emel dengan sistem penyulitan yang baik. Walaupun berasaskan Android, tidak ada satupun aplikasi Google terpasang. Aplikasi Google menurut UnaPhone menjejak setiap pergerakan pengguna dan tidak selamat digunakan. Sebaliknya terdapat 40 aplikasi terpasang yang setiap satunya melepasi piawai sekuriti mereka. Tanpa pengesahan dari UnaPhone, aplikasi yang dimuat turun tidak akan dapat dilancarkan.
UnaPhone Zenith mempunyai skrin 5.5″ LTPS HD Penuh, pemproses 2.0 GHz lapan teras, RAM sebesar 4 Gigabyte dan storan 32 Gigabyte. Kamera utama pula sebesar 13 Megapixel dan kamera hadapan 8 Megapixel. Bateri 3080 mAh menguasai peranti dengan sokongan pengecasan pantas menerusi port USB-C. Peranti ini dihasilkan oleh pihak LG untuk UnaPhone. Zenith masih mengumpul dana untuk penghasilan secara besar-besaran dan harga jualan bermula $459 (~RM 1845) sebuah. Ini meletakkan sebagai peranti mementingkan sekuriti paling mampu milik di pasaran setakat ini.