Cari @ Amanz

Lenovo hari ini telah memperkenalkan dua peranti mudah-alih baru. Yang pertama adalah Lenovo Phab 2 Pro yang menjadi peranti pertama berasaskan Project Tango, dan satu lagi peranti yang diperkenalkan hadir daripada anak syarikat mereka, Motorola, iaitu Moto Z.

Moto Z

Dari segi spesifikasi, Moto Z hadir dengan skrin bersaiz 5.5-inci dengan paparan QHD, cip pemprosesan Snapdragon 820, memori 4GB RAM, dan ruangan storan sehingga 64GB. Moto Z turut hadir menggunakan kamera belakang 13-megapixel dengan sokongan penstabilan imej optikal, serta pengimbas cap jari untuk sekuriti tambahan.

Lenovo menekankan telefon pintar ini sebagai telefon pintar paling nipis – membuatkan mereka terpaksa membuang salah satu ciri yang mungkin diminati ramai, iaitu sebuah port untuk fon kepala. Moto Z menggunakan port USB Type-C untuk pengecasan.

Satu lagi variasi peranti yang hadir adalah Moto Z Force yang memfokuskan kepada ketahanan skrin yang tidak akan retak atau pecah jikalau terjatuh. Moto Z Force juga hadir dengan kamera belakang 21-megapixel.

Moto Z

Disamping pengunaan spesifikasi yang tinggi, Lenovo turut mencuri perhatian ramai dengan memperkenalkan sokongan Moto Mods melalui Moto Z.

Melalui Moto Mods, ia membolehkan pengguna menaik-taraf ciri-ciri dan fungsi pada telefon Moto Z dengan menghubungkan aksesori atau modul tambahan melalui sambungan magnetik dibelakang. Secara kasar, aksesori dan modul yang ditawarkan adalah seperti pada LG G5, tetapi pengguna tidak perlu membuka sebarang panel belakang atau memulakan semula peranti sebaik sahaja memasangnya.

Moto Z

Beberapa modul dibawah Moto Mods telah turut diperkenalkan, termasuk antaranya adalah speaker daripada JBL yang menambah kekuatan bunyi yang dikeluarkan oleh peranti berkenaan, sebuah modul berbentuk bateri tambahan, dan juga sebuah modul yang menambah sokongan projektor pada Moto Z.

Lenovo mengatakan modul yang sama boleh digunakan pada Moto Z generasi akan datang, dan turut mengalukan para pembangun untuk hadir dengan prototaip modul yang baik dan memenangi ganjaran sehingga $1 juta yang ditawarkan oleh Lenovo.

Moto Z akan dipasarkan bermula bulan September ini untuk pasaran global, bersama-sama Moto Mods.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd