Spotify ialah perkhidmatan penstriman muzik yang kami gunakan setiap hari. Ini ditawarkan pada harga yang amat mampu milik. Bayaran perkhidmatan selama tiga bulan adalah sama dengan harga sebuah cakera padat fizikal yang kali terakhir kami beli lebih sepuluh tahun yang lalu. Spotify kini perkhidmatan penstriman muzik nombor satu dunia dan akan dicabar oleh perkhidmatan baru yang bakal dilancarkan Amazon.
Menurut laporan Reuters, Amazon bakal melancarkan perkhidmatan penstriman muzik mereka pada penghujung musim panas ini. Amazon pada waktu ini menawarkan Prime Music kepada pelanggan Amazon Prime mereka sahaja. Perkhidmatan baru ini akan membolehkan sesiapa sahaja melanggan dengan membayar $9.99 sebulan dan ia menawarkan koleksi muzik yang lebih besar berbanding Prime Music. Sebuah lagi perkhidmatan penstriman muzik memasuki pasaran. Yang manakah yang anda gunakan sekarang?