Carian
Ulasan: Honor 5C – ​Peranti Dengan Prestasi Yang Baik Pada Harga Tawarannya
June 14, 2016 Arib Ismail

Huawei 5CDSC05800

Honor 5C
Chipset HiSilicon Kirin 650
CPU 2.0 GHz Cortex-A53 empat-teras
1.7 GHz Cortex-A53 empat-teras
GPU Mali-T830 MP2
Memori 2GB RAM
Storan 16GB, microSD sehingga 256GB
Kamera Utama 13MP auto-focus, f/2.0, rakaman 1080p
Kamera Hadapan 8MP, f/2.0, rakaman 720p
Skrin 5.2-inci IPS, 1920×1080 piksel, 424 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi, A-GPS, Bluetooth 4.1
Sistem Android 6.0 Marshmallow + EMUI 4.1
Bateri 3000 mAh, tidak boleh dikeluarkan
Berat & Ketebalan 156g, 8.3mm

A

pa yang boleh disaksikan pada saat ini, banyak pengeluar sering mempertaruhkan peranti kelas pertengahan pada harga mampu milik. Xiaomi boleh dikatakan menjadi pelopor pada era peranti mampu-milik dengan penawaran menarik pada harga ratusan ringgit. Perkara ini dibuktikan dari kejayaan siri Redmi dan Redmi Note yang sedia menjadi pilihan utama untuk tiga generasi sehingga saat ini.

Kita boleh lihat, pengeluar-pengeluar lain telah mula memperkenalkan peranti mesra-bajet mereka seperti Meizu dengan penawaran siri M Note. Flash yang kini di bawah jenama Alcatel juga telah menawarkan kepada kita Flash Plus 2 yang membawakan spesifikasi kukuh dengan harga bermula RM599. Beberapa contoh lain turut boleh disaksikan seperti ZTE melalui penawaran ZTE Blade V7 Lite dengan pengimbas cap jari yang boleh didapati serendah RM499.

Pada tahun lepas, Honor telah menyajikan kita dengan Honor 5X yang menawarkan spesifikasi menarik pada harga RM899. Ia sebuah peranti yang cukup kukuh, baik dari segi rekaan dan spesifikasinya seumpama peranti berkelas tinggi. Ia dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 615, memori 2GB RAM, kamera 13MP, dan pengimbas cap jari terbina. Pada waktu dilancarkan, segala ramuan daripada Honor ini menjadi apabila sering kehabisan stok sejurus ia mula dijual kepada umum.

Pada tahun ini, Honor 5C meneruskan legasi Honor 5X dengan penawaran rekaan yang lebih kompak bersama spesifikasi yang diperbaharui. Ia membawakan paparan HD penuh, kamera 13MP, sokongan microSD, dan pengimbas cap jari yang sudah menjadi ramuan untuk memenangi hati pembeli tahun ini. Harganya juga telah dikurangkan bagi membolehkan orang ramai memiliki peranti jenama Honor daripada Huawei tanpa perlu membayar lebih. Namun bolehkah ia meneruskan legasi abang sulungnya di dalam arena peranti mampu milik?

Rekabentuk

Melihat peranti ini pada kali pertama mengingatkan saya dengan rekaan Moto G apabila diteliti pada bahagian hadapannya. Ia kelihatan ringkas dan bezel di bahagian sisi skrin tidak begitu tebal apabila dilihat. Di bahagian belakang pula masih membawakan rekabentuk seumpama Honor 5X dengan sedikit perubahan rekaan yang kini sedikit membulat. Memegangnya kini lebih selesa dan ergonomik berbanding Honor 5X yang didatangkan dengan rekaan belakang dan sisi agak tajam. Material binaannya juga masih sama yang mana hadir dengan binaan brushed aluminum di bahagian belakang ini.

Huawei 5CDSC05809

Dari segi paparan, walaupun hadir dengan skrin 5.2-inci, ia masih menawarkan resolusi HD penuh 1080p. Paparan IPS LCD pada peranti ini dilihat membawakan kepadatan piksel 424 ppi dalam menawarkan paparan warna yang cukup terang tanpa memperlihatkan sebarang piksel pada mata kasar. Dari segi darjah pandangannya juga cukup terang yang mana boleh dilihat dari pelbagai sudut darjah. Cuma apa yang saya kurang gemar ialah rekaan hadapannya kini lebih “murah dan plastik”, tidak seperti Honor 5X yang kelihatan lebih solid dan menawan.

Tidak seperti pesaing dari jenama lain yang hadir dengan variant 32GB dan 3GB RAM, Honor 5C hanya menawarkan pilihan storan 16GB bersama memori 2GB RAM. Sekiranya 16GB tidak cukup bagi anda, ia masih didatangkan dengan sokongan penambahan microSD sehingga 256GB. Walau bagaimanapun, ia kini menggunakan slot hibrid yang mana menggunakan ruang sim kedua untuk penambahan kad microSD. Jadi anda tidak dapat menggunakan kedua-dua sim dan microSD secara serentak seperti mana yang hadir pada Flash Plus 2.

Pengimbas Cap Jari

Honor 5C dilihat masih membawakan sistem pengimbas cap jari di bahagian belakang peranti. Lokasinya masih di bawah kamera dengan kedudukan yang mudah untuk dicapai. Ia juga tidak memerlukan anda menghidupkan paparan terlebih dahulu untuk menggunakan pengimbas cap jari ini. Dengan hanya menyentuh jari yang telah ditetapkan, telefon akan dinyahkunci dengan serta merta.

Huawei 5CDSC05802

Seperti Honor 5X, ia turut didatangkan dengan fungsi-fungsi tambahan seperti menetapkan jari tertentu untuk membuka sesuatu aplikasi. Sekiranya anda menggunakan jari hantu untuk membuka WeChat, ia akan membuka aplikasi tersebut dengan serta merta apabila anda mengimbas jari ini pada pengimbas cap jari.

Pada peranti ini juga anda boleh menetapkan gesture untuk mengambil panggilan, menutup jam penggera, dan mengambil selfie dengan hanya melakukan hold pada pengimbas cap jari ini. Ia juga membolehkan pengguna menurunkan talam notifikasi dan mengawal gerakan gambar ke kiri dan ke kanan ketika melayari gambar pada Gallery. Beberapa fungsi lain turut diintegrasikan seperti File Safe dan App Lock untuk menambah keselamatan fail dan aplikasi peribadi anda dengan kawalan pengimbas cap jari.

Sistem

Honor 5C kini dijana dengan antaramuka EMUI 4.1 berasaskan Android 6.0 Marshmallow seperti mana yang hadir pada Huawei P9. Saya boleh kata antaramukanya kini jauh lebih baik berbanding EMUI 3.1 sebelum ini yang dilihat serabut dan penggunaan ikon yang tidak konsisten. Dari segi prestasinya juga nyata jauh berbeza yang kini menampilkan animasi pembukaan aplikasi dan paparan multitasking yang begitu lancar. Antaramuka keseluruhannya juga kini diperbaharui dengan design language yang lebih kemas dan minimal selari dengan citarasa rekabentuk moden.

Honor 5C Screenshot

Dari segi talam notifikasinya juga dilihat masih mengekalkan dua bahagian utama melalui Notifications dan Shortcuts. Sebarang notifikasi yang hadir akan disusun pada satu paparan tanpa perlu disatukan pada paparan shortcuts di bahagian atas. Antaramuka pada Settings, Dialer, Calendar, dan File Manager juga telah diberi pembaharuan dengan rekabentuk kemas dan minimal.

Honor 5C Screenshot 4

EMUI 4.1 turut mengekalkan fungsi-fungsi menarik sebelum ini seperti Phone Manager yang memudahkan anda menguruskan telefon anda seperti kawalan storan, privasi, dan bateri. Tidak seperti peranti Honor sebelum ini, Honor 5C turut menampilkan fungsi Health yang mampu mengesan langkah anda berjalan seumpama aplikasi Google Fit. Dari segi kehadiran bloatware, Honor dilihat menyertakan beberapa aplikasi seperti WPS Office, Facebook, Clean Master, Shazam, Booking.com, dan Dropbox di dalam satu folder yang dinamakan Top Apps. Kesemua aplikasi ini masih boleh dibuang sekiranya anda tidak menyukai kehadiran aplikasi yang tidak diundang oleh pengeluar ini.

Benchmark Honor 5C

Prestasi

​Satu perkara yang saya cukup kagum dengan peranti ini ialah prestasinya yang terlalu lancar jika dibandingkan dengan Flash Plus 2. Membuka aplikasi dan paparan multitasking terasa amat pantas tanpa sebarang lengah masa. Melayari laman web di Chrome & menatal susur masa di Twitter kini tidak lagi dibebankan dengan masalah hiccup dan sebarang isu frames drop. Penggunaan HiSilicon Kirin 650 bersama 2GB RAM nampaknya membuahkan hasil apatah lagi dipadankan dengan antaramuka EMUI 4.1 yang kini menggunakan Android 6.0 Marshmallow.

Dari segi ujian benchmark juga, ia menawarkan bacaan yang lebih tinggi berbanding peranti Snapdragon 615 yang kebiasaannya mampu mencapai sekitar angka 35000-41000. Pada Honor 5C, ia memberikan bacaan AnTuTu Benchmark setinggi 53327 yang mana sedikit pantas berbanding cip pemprosesan Helio X10 daripada MediaTek. Ia juga turut menewaskan peranti Flash Plus 2 yang hanya mencatatkan bacaan benchmark dengan markah 43890.

Memainkan permainan terkini seperti Modern Combat 5 juga tidak memberi sebarang isu yang serius apabila dimainkan dengan grafik sederhana. Bacaan frames rate dilihat konsisten dan sering menawarkan grafik permainan pantas dan lancar. Dari pengalaman multitasking dari aplikasi ke aplikasi lain, ia juga kini mampu menahan sejumlah aplikasi dengan lebih efisien dalam mengurangkan aplikasi daripada direload semula.

Kamera

Honor 5C masih mengekalkan sensor 13MP f/2.0 seperti Honor 5X pada kamera di bahagian belakang. Cuma dari segi prestasi, Honor 5C dilihat lebih berprestasi cemerlang apabila melibatkan kawalan cahaya dan warna. Hasil gambar kini kelihatan lebih cerah dan jitu tanpa dibebankan dengan masalah gambar soft. Pada keadaan kurang cahaya, Honor 5C juga dilihat mampu mengawal noise dengan baik sekali melalui penampakkan noise yang begitu minimal.

Kamera hadapan Honor 5C dilihat telah dipertingkatkan kepada sensor 8MP f/2.0 berbanding 5MP f/2.4 pada Honor 5X sebelum ini. Sejujurnya saya cukup suka dengan hasil kamera hadapan ini yang begitu jelas setanding menggunakan peranti yang memfokuskan selfie. Algoritma pencatikkan wajah terbina kini lebih jitu baik dari segi kawalan warna yang kini lebih tepat berbanding sebelumnya. Seperti Honor 5X, ia juga hadir dengan lensa lebar 88-darjah dalam membantu anda mengambil gambar selfie secara beramai-ramai.

[amanz-gallery]

Honor 5C turut menawarkan banyak fungsi pada antaramuka kameranya seperti Beauty mode yang membolehkan anda melaras tahap kecantikan pada wajah anda. Sekiranya anda gemar mengambil gambar makanan, ia juga hadir dengan fungsi Good Food yang mampu mencerahkan lagi warna dan cahaya pada gambar makanan yang diambil. Satu fungsi menarik ialah Light Painting yang mana membolehkan anda mengambil kreativiti anda bersama cahaya tanpa perlu menetapkan sebarang fungsi manual terlebih dahulu. Fungsi-fungsi lain seperti HDR, panorama, dan pengimbas dokumen turut didatangkan sebagai satu pakej standard.

Saya sebenarnya agak kagum dengan kehadiran manual mode yang begitu lengkap membuatkan saya tidak percaya peranti ini ditawarkan di bawah RM800. Ia mengingatkan saya menggunakan siri peranti Oppo R7 yang turut dibekalkan dengan penggunaan manual mode yang boleh dimuat-turun. Ia hadir dengan kawalan ISO, metering, dan kawalan manual focus dalam memudahkan anda mengawal jumlah pemfokusan pada sesuatu objek. Pada Honor 5C, anda juga boleh menetapkan shutter speed sehingga 8 saat yang kebiasaanya tidak terdapat pada peranti sekelasnya.

Pada fungsi videonya juga, Honor 5C turut membawakan kawalan manual melalui Pro Mode yang turut membolehkan anda mengawal fokus ketika mengambil video. Sekiranya sebelum ini fungsi beautify hanya untuk gambar, pada Honor 5C juga kini telah didatangkan dengan fungsi beautify untuk video. Dari segi rakaman, ia masih mengekalkan rakaman video 1080p@30fps seperti Honor 5X sebelum ini. Beberapa fungsi lain seperti time-lapse dan slow-mo 480p@120fps juga dikekalkan bagi melengkapkan lagi fungsi pada bahagian video.

Battery Honor 5C

Bateri

Dari pengalaman sebelum ini, HiSilicon Kirin dilihat tidak begitu menawarkan prestasi bateri yang baik seperti peranti yang dijana dengan cip Snapdragon. Tetapi tidak pada HiSilicon Kirin 650, ia kini mampu memberikan jangka hayat bateri yang lebih lama walaupun peranti ini hadir dengan kapasiti bateri 3000 mAh. Dari segi penggunaan, ia mampu menawarkan pengalaman penggunaan sepanjang hari dengan bacaan Screen on Time (SoT) sekitar 5 jam 23 minit. Ia mungkin tidak setanding dengan Redmi Note 3 yang mencatatkan bacaan SoT sekitar 8 jam 5 minit, namun dengan bacaan melebihi 4 jam ini sudah pun dikira amat baik.

Seperti peranti-peranti Honor sebelum ini, penggunaan SmartPower daripada Honor ini dilihat memberikan jangka hayat bateri yang lebih lama berbanding fungsi penjimatan bateri terbina pada Android 5.0+. Saya seringkali dapat menggunakan peranti ini sekitar 2 hari walaupun peranti dibebankan dengan penggunaan sederhana pada hari pertama.

Walau bagaimanapun, seperti Honor 5X juga, ia tidak didatangkan dengan sebarang fungsi pengecasan pantas seperti Redmi Note 3 yang hadir dengan fungsi pengecasan Quick Charge. Namun dengan sokongan pengecas (tablet) 5V/2A pada peranti ini, ia dilihat mampu mengurangkan kadar waktu mengecas peranti seumpama peranti yang menyokong pengecasan pantas.

Rumusan

Huawei 5CDSC05791

Huawei 5CDSC05795-down

Honor 5C masih menawarkan sebuah peranti yang cukup berkualiti apabila dinilai dari sudut kameranya walaupun hadir dengan sensor 13MP berbanding 16MP pada Redmi Note 3. Bagi saya, Honor 5C turut menawarkan gambar yang lebih menyerlah dan lebih jitu dari segi kualiti dan kawalan warnanya. Fungsi kameranya juga cukup padat dengan fungsi-fungsi menarik seperti Pro Mode yang mampu memberikan kawalan manual untuk kamera.

Honor 5C juga dilihat lebih tampil kehadapan apabila dinilai dari segi prestasi peranti ini. Ia lebih menawarkan prestasi yang cukup pantas melalui pengguna cip HiSilicon Kirin 650. Jangka hayat baterinya juga adalah amat baik dengan bacaan SoT yang lama untuk penggunaan harian.

Pro
  • Lebih pantas dan lancar berbanding pesaing terdekat
  • Rekaan yang lebih ergonomik dan selesa untuk dipegang
  • Pengimbas cap jari padat dengan fungsi tambahan
  • Ketahanan bateri amat baik dan menyokong pengecas tablet 5V/2A yang mampu mengecas peranti dengan pantas
  • Prestasi kamera menawarkan hasil gambar dengan warna yang lebih tepat dan jitu
  • Hadir dengan Android 6.0 Marhsmallow bersama EMUI 4.1 yang lebih kemas & minimalis
  • Didatangkan dengan LTE Cat 6 yang mampu mencapai kelajuan setinggi 300 Mbps
Kontra
  • Harganya masih agak mahal jika dibandingkan dengan pesaing terdekat
  • Binaan hadapan kelihatan lebih “murah dan plastik”.
  • Tidak hadir dengan slot sim & microSD berasingan.
  • Tiada sokongan IR Blaster
  • Tiada sokongan NFC

Secara keseluruhannya, Honor 5C menawarkan alternatif terbaik bagi yang mahukan spesifikasi lengkap dalam satu pakej rekabentuk kompak. Dengan harga RM799, Honor 5C mampu memberikan pengalaman seimbang baik dari segi prestasi, kamera, dan jangka hayat bateri.

Bagi anda yang berminat, anda boleh membuat pra-tempahan untuk Honor 5C bermula 20 Jun ini di Vmall atau Lazada.

Skor Amanz - Honor 5C

Komen