Cari @ Amanz

Apple hari ini telah memperkenalkan iOS 10 yang mana merupakan sistem operasi generasi baru untuk peranti mudah-alih daripada Apple, dan bakal ditawarkan dalam masa beberapa bulan lagi. Bersama-sama pengenalannya juga, Apple turut menyatakan peranti yang akan menyokongnya.

Apple iOS 10 kelak akan menyokong iPhone 5, iPhone 5C, iPhone 5S, iPhone 6, iPhone 6 Plus, iPhone 6S, iPhone 6S Plus dan juga iPhone SE.

Disamping iPhone, ia turut akan menyokong iPad 4, iPad Air, iPad Air 2, iPad Pro, iPad Mini 2 dan terkini, serta iPod Touch 6 dan terkini.

Apple iOS 10

Perkara ini juga membuatkan Apple akan menamatkan sokongan untuk iPhone 4s. Ini mungkin sedia diketahui ramai, apatah lagi peranti berkenaan telah sedikit berusia – iPhone 4s sendiri telah diperkenalkan pada tahun 2011 yang lepas, dan telah lebih kurang lima tahun sejak ia diperkenalkan.

Dalam arena mudah-alih, Apple merupakan salah satu jenama yang menawarkan sokongan perisian yang baik kepada peranti keluaran mereka jikalau dibandingkan dengan sejumlah lain yang menghentikan sokongan sebaik sahaja ia dipasarkan, ataupun hanya menyokongnya sekitar setahun sahaja.

Bagi pengguna iPhone 4s, anda mungkin boleh naik-taraf kepada telefon pintar Apple yang terbaru – seperti iPhone SE, dan masih merasai saiz peranti yang kompak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd