Ini Adalah Fungsi Baru Yang Bakal Hadir Ke iPhone Dan iPad Anda Melalui iOS 10

Ini Adalah Fungsi Baru Yang Bakal Hadir Ke iPhone Dan iPad Anda Melalui iOS 10

Diterbitkan pada June 14, 2016 oleh .

Apple pada awal pagi hari ini telah memperkenalkan sistem operasi terbaru untuk peranti mudah-alih mereka, iaitu iOS 10. iOS 10 bakal ditawarkan untuk pengguna iPhone, iPad dan iPod Touch sekitar bulan September kelak, dan betanya akan dimulakan pada bulan Julai 2016 ini.

Seperti setiap versi sistem operasi, iOS 10 menyertakan sejumlah pembaharuan – malah Apple sendiri menekankan yang mana iOS 10 sebagai membawakan perubahan terbesar pada sistem operasi popular berkenaan. Berikut merupakan antara fungsi baru yang hadir pada iOS 10:

Angkat Telefon Untuk Aktifkan Skrin

Pada iOS 10, salah satu fungsi yang disertakan oleh Apple adalah kemudahan untuk mengaktifkan skrin tanpa perlu menekan sebarang butang. Pengguna hanya perlu mengangkat telefon mereka, dan skrin akan diaktifkan serta-merta bagi anda melihat apakah notifikasi baru yang terdapat pada iPhone anda. Apple menamakan fungsi ini sebagai Raise to Wake.

Nafas Baru Untuk Skrin Kunci

Apple iOS 10

Skrin kunci utama pada iOS 10 turut diberikan nafas baru, dimana ia menyertakan rekaan baru untuk paparan notifikasi pada skrin. Pengguna turut boleh 3D Touch pada notifikasi yang dipaparkan bagi mengaksesnya tanpa keperluan nyah-kunci peranti terlebih dahulu.

Disamping itu, pengguna boleh mengakses widget dengan menatal ke bahagian kanan, ataupun akses ke kamera dengan menatal ke kiri.

Akses Aplikasi Lain Melalui Siri

Apple iOS 10

Pada iOS 10, Apple membuka kebolehan integrasi Siri pada aplikasi lain. Ini sekaligus membolehkan anda mengakses aplikasi lain dengan mudah melalui Siri. Sebagai contoh, anda boleh menyebut untuk menghantar WeChat, dan Siri akan memahaminya serta menghantar teks ke rakan di WeChat.

Papan Kekunci Yang Lebih Pintar

Papan kekunci yang hadir terbina pada iOS 10 turut hadir dengan sokongan pembelajaran pintar, membolehkan ia mempelajari apa yang ingin dibalas, dan menawarkan cadangan dan ramalan mesej yang mungkin dibalas oleh anda. Perkara ini sekaligus mempercepatkan lagi proses komunikasi di antara anda dengan pengguna lain. Papan kekunci iOS 10 juga turut menyokong penggunaan lebih dari satu bahasa pada sesuatu masa.

Aplikasi Photos Yang Kini Turut Hadir Dengan Pembelajaran Mesin

Apple iOS 10

Seperti pada Google Photos, pihak Apple turut menambah-baik aplikasi Photos pada iOS 10 dengan integrasi pembelajaran mesin pintar. Dengannya, kini ia boleh memahami sesuatu gambar termasuk orang, objek dan latar lokasi didalam gambar berkenaan. Pengguna turut boleh membuat carian gambar berdasarkan menggunakan teks, dan ia akan memaparkan gambar berkaitan dengannya. Disamping itu, Photos turut menjana album dan video berkaitan sesuatu percutian secara automatik melalui Memories.

Apple Maps Kini Turut Dilengkapi Enjin Pembelajaran Pintar

Apple iOS 10

Pada iOS 10, Apple memberikan sedikit nafas baru pada Apple Maps dengan mengemaskini beberapa elemen grafik pada antaramuka aplikasi berkenaan. Disamping itu, seperti pada papan kekunci dan juga Photos, pihak Apple turut menyertakan sokongan pembelajaran pintar pada Maps. Melaluinya ia boleh melakukan beberapa perkara, termasuk salah satunya adalah seperti memberikan anda cadangan laluan berdasarkan kepada aktiviti harian anda dan dimana anda sering berada pada sesuatu masa. Sebagai contoh, sekiranya anda membuka aplikasi Maps pada awal pagi hari bekerja, ia akan memberikan cadangan laluan ke pejabat anda.

Apple Music Kini Dengan Antaramuka Baru Dan Paparan Lirik

Apple iOS 10

Seperti desas-desus sebelum ini, Apple melalui iOS 10 memberikan nafas baru kepada aplikasi penstriman muzik mereka. Apple Music kini hadir dengan antaramuka baru yang lebih ceria, dan turut dilengkapi beberapa ciri-ciri baru – termasuk sebagai contoh adalah paparan lirik untuk lagu yang dimainkan.

Membuang Aplikasi Yang Tidak Dikehendaki

Pada iOS 10, Apple memberikan lebih kawalan kepada para pengguna, termasuk kebolehan membuang aplikasi Apple yang hadir terbina. Sebagai contoh, sekiranya anda tidak mengunakan aplikasi Apple Music, anda boleh membuang aplikasi berkenaan daripada memenuhi ruangan storan anda. Anda juga turut boleh memuat-turunnya kembali daripada AppStore pada bila-bila masa.

Kebolehan Menjana Audio-Ke-Teks Untuk Panggilan

Pada aplikasi Phone, Apple pada iOS 10 menyertakan sokongan transkrip, membolehkan anda mengubah sebarang panggilan secara automatik kepada teks untuk simpanan dan rujukan masa depan. Apa pun, ia mungkin terhad kepada beberapa bahasa sahaja ketika pengenalan.

Aplikasi iMessage Yang Diberikan Nafas Baru

Apple iOS 10

iOS 10 memperlihatkan perubahan drastik dibawakan oleh Apple melalui iMessage. Kini, aplikasi tersebut menawarkan pelbagai ciri-ciri dan animasi baru, termasuk integrasi daripada aplikasi lain kedalamnya. Pihak Apple turut menyediakan iMessage AppStore untuk pengguna memuat-turun pelbagai perkara bagi diintegrasikan ke dalam iMessage.


Ini merupakan hanya sebahagian besar daripada fungsi baru yang akan hadir ke Apple iOS 10 tidak lama lagi. Apple akan menawarkan ia dalam bentuk beta terbuka pada bulan Julai ini, dan ditawarkan kepada semua pengguna pada bulan September kelak. iOS 10 selari untuk iPhone 5 dan terkini, iPad Mini 2 dan terkini, iPad 4 dan terkini, iPad Pro, dan juga untuk iPod Touch 6 dan terkini.

Apple iOS 10


TIPS & ULASAN