Cari @ Amanz

Flash Plus 2 - DSC06015

Flash Plus 2
Chipset Mediatek MT6755 Helio P10
CPU 1.8 GHz Cortex-A53 empat-teras
1.0 GHz Cortex-A53 empat-teras
GPU Mali-T860MP2
Memori 2/3GB RAM
Storan 16/32GB, microSD sehingga 256GB
Kamera Utama 13MP auto-focus, f/2.0, rakaman 1080p
Kamera Hadapan 5MP, f/2.0, rakaman 720p
Skrin 5.5-inci IPS, 1920×1080 piksel, 401 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi, A-GPS, Bluetooth 4.1
Sistem Android 6.0 Marshmallow
Bateri 3000 mAh, tidak boleh dikeluarkan
Berat & Ketebalan 157g, 8.2mm

A

​rena peranti mampu milik kini semakin mendapat perhatian daripada kebanyakan pengeluar peranti mudah-alih. Ia memberikan bukan sahaja daripada harga jualanya yang dilihat mampu milik namun penawaran hebat yang ditawarkan cukup menggugat pilihan pengguna. Ada sahaja penawaran peranti baru daripada pengeluar yang tidak putus-putus dalam memberikan saingan pada arena peranti mampu milik ini.

Baru-baru ini, kita telah lihat Honor 5C yang menjadi taruhan baru Honor dalam menarik perhatian pengguna dengan cip pemprosesan 16nm pada harga RM799. Ia benar-benar memberikan prestasi yang cukup pantas seumpama menggunakan peranti berkelas flagship. Rekaannya yang kompak dengan skrin 5.2-inci dilihat sebagai alternatif bagi yang mahukan prestasi pantas pada rekaan yang selesa untuk dipegang.

Xiaomi Redmi Note 3 masih lagi mengungguli pasaran ini dengan spesifikasi yang cukup tinggi bagi sebuah peranti ratusan ringgit seperti penggunaan cip Snapdragon 650. Ia memberikan prestasi hampir setanding dengan cip pemprosesan flagship Snapdragon 810 yang dikeluarkan pada tahun 2014. Menariknya, peranti ini ditawarkan pada harga bermula RM749 menerusi saluran jualan rasmi Xiaomi Malaysia.

Kini satu lagi peranti yang berada di bawah jenama Alcatel telah mula bergerak secara solo dengan penawaran terbaru mereka menerusi Flash Plus 2. Ia menawarkan spesifikasi standard kelas pertengahan seperti skrin 5.5-inci, memori 2GB RAM, kamera 13MP dan pengimbas cap jari hanya pada harga RM599. Dengan tawaran hebat pada harga rendah ini, bolehkah ia menambat hati pengguna pada arena peranti mampu milik ini?

Flash Plus 2 - DSC05976

Rekabentuk

Apabila melihat peranti ini buat kali pertama, binaan hadapannya mengingatkan saya dengan peranti Galaxy Note 3 dan Note 4 daripada Samsung. Ia kelihatan begitu minimal dengan kehadiran butang home di bawah peranti. Cuma apabila bercakap mengenai butang home ini, saya merasakan ia tidak begitu kukuh apabila ditekan. Ia turut menampilkan butang navigasi kapasitif dengan lampu terbina bagi memudahkan anda menggunakan butang ini apabila menggunakan peranti dalam keadaan gelap.

Binaan belakangnya pula direka dengan binaan berasaskan aluminum dengan rekaan hairline untuk menampakkan lagi citarasa premium pada peranti ini. Ia menampilkan logo Flash berhampiran dengan kamera belakang dan lubang pembesar suara di bahagian bawah peranti. Bahagian belakang ini boleh dibuka sepenuhnya namun ia tidak membenarkan pengguna untuk menukar bateri yang didatangkan secara terbina. Hanya penukaran kedua-dua kad sim dan microSD sahaja yang dibenarkan.

Flash Plus 2 turut didatangkan dengan skrin 5.5-inci beresolusi penuh 1080p dengan teknologi IPS LCD. Paparan ini walau bagaimanapun bagi saya tidak sebaik skrin IPS LCD yang didatangkan pada peranti pesaing. Warna yang dipersembahkan agak baik dengan ketumpatan piksel 401 ppi namun darjah pandangannya agak terhad apabila dilihat dari sudut lain. Bezelnya juga bagi saya agak kelihatan sedikit tebal di bahagian sisi, atas, dan bawah peranti apabila skrin diaktifkan.

Dari segi storan, Flash Plus 2 mempunyai dua variant iaitu dengan storan dalaman 16GB + 2GB RAM dan 32GB + 3GB RAM. Sekiranya storan dalaman tidak mencukupi bagi anda, ia boleh dipertingkatkan dengan storan microSD sehingga 128GB. Tidak seperti Redmi Note 3 dan Honor 5C, peranti ini hadir dengan slot dwi-sim dan slot microSD secara berasingan. Bermakna, anda boleh memanfaatkan kedua-dua ruang sim ini dan kad microSD tanpa perlu berkongsi pada ruangan slot sim.

Pengimbas Cap Jari

Pengimbas cap jari di bahagian hadapan peranti ini saya boleh kata prestasinya cukup pantas apabila menyahkunci peranti. Meletakkan jari di butang home ini dan mengangkatnya dengan laju, ia masih boleh menangkap cap jari saya dan seterusnya peranti dinyahkunci dengan serta merta. Bagi saya, ia memberikan prestasi paling pantas untuk peranti sekelasnya setakat ini meninggalkan Redmi Note 3 dan Honor 5C/5X.

Cuma apa yang sedikit mengecewakan, anda perlu menghidupkan skrin peranti sebelum ia boleh mengimbas cap jari anda. Saya sebenarnya lebih gemar dengan apa yang dilakukan oleh Redmi Note 3 dan Honor 5C/5X yang mana terus mengesan cap jari anda walaupun skrin dimatikan.

Flash Plus 2 - DSC06000

Seperti kebanyakan peranti lain, Flash Plus 2 turut didatangkan dengan sokongan tambahan pada pengimbas cap jari seperti sokongan Private Folder. Ia membolehkan anda mengunci dan seterusnya mengakses fail tersebut apabila cap jari yang dipercayai sahaja diimbas pada peranti.

Ia juga hadir dengan quick application access yang membolehkan anda menetapkan jari tertentu untuk membuka aplikasi pilihan anda. Sekiranya anda ingin akses pantas ke aplikasi Instagram, tetapkan sahaja dengan jari pilihan anda seperti contoh dengan menggunakan jari ibu. Apabila skrin dihidupkan, imbas sahaja jari ibu anda pada butang home dan aplikasi Instagram akan dipaparkan sejurus selepas itu.

Sistem

Agak menarik sebenarnya Flash Plus 2 didatangkan dengan Android 6.0 Marshmallow yang dioptimasikan dengan pengalaman seakan “stock”. Keseluruhan antaramuka tidak diubah dengan begitu ketara dan masih mengekalkan citarasa Material Design pada sejumlah besar antaramuka peranti ini. Namun ia tidaklah begitu “stock” seperti peranti Nexus kerana masih terdapat pengubahsuaian pada launcher seperti animasi bukaan folder dan ikon.

Screenshot-1-Flash-Plus-2

Dari segi aplikasi stock juga ia tidak menggunakan aplikasi Google sebaliknya menggunakan aplikasi mereka sendiri seperti Gallery, Camera, Email, Music, Calendar, dan File Manager. Ia juga hadir dengan sebuah aplikasi terbina iaitu Boost yang menjadi pusat sehenti untuk memantau penggunaan storan, memori, dan bateri.

Screenshot-2-Flash-Plus-2

Beberapa fungsi tambahan lain turut didatangkan antaranya Turbo download yang membolehkan kelajuan WiFi dan selular disatukan ketika memuat-turun sesuatu aplikasi dan fail. Ia juga hadir dengan fungsi “double tap to wake/sleep” bagi memudahkan anda menghidupkan dan mematikan skrin peranti tanpa menekan butang fizikal. Sekiranya anda ingin mematikan peranti untuk waktu tertentu, Flash Plus 2 ini turut dilengkapi dengan “Scheduled power on & off” yang bagi saya ideal digunakan untuk menjimatkan bateri.

Prestasi

Screenshot-5-Flash-Plus-2

Flash Plus 2 telah didatangkan dengan cip pemprosesan MediaTek Helio P10 iaitu cip yang sama digunakan pada Xperia XA dan Oppo F1 Plus. Bagi saya cip pemprosesan ini tidak memberi sebarang masalah prestasi untuk penggunaan harian malah sangat responsif ketika melancarkan aplikasi. Dari segi pengeluaran haba juga kurang mendatangkan isu walaupun menggunakan peranti ini dalam jangka masa lama untuk memainkan permainan mahupun menonton video. Bagi saya cip ini memberikan prestasi dan pengeluaran haba yang agak baik berbanding cip MediaTek Helio X10 sebelum ini.

Sungguhpun begitu, apabila mengikut ujian benchmark, ia berada sedikit di belakang apabila dibandingkan dengan mata yang dicatatkan oleh Helio X10. Melalui AnTuTu Benchmark, MediaTek Helio P10 memberikan skor 42180 berbanding Helio X10 yang mencatatkan 46406. Kedua-dua cip pemprosesan ini dilihat meninggalkan Snapdragon 615 apabila dinilai dari skor benchmark yang sering mencatatkan skor sekitar 35000-41000.

Prestasi permainannya juga tidak memberikan sebarang masalah frames rate yang tidak konsisten apabila memainkan permainan bergrafik sederhana seperti Modern Combat 5. Ia begitu lancar tanpa memberikan isu “hiccup” dan grafik yang tersekat-sekat ketika memainkan permainan ini. Walaupun dijana dengan memori 2GB RAM, prestasi multitasking juga dilihat sangat pantas apabila membuat penukaran aplikasi. Aplikasi yang berada di belakang juga kurang memberikan masalah reload apabila kembali ke aplikasi tersebut semula.

Bagi saya pengoptimasian yang dilakukan oleh Flash ini cukup dipuji atas kelancaran prestasi multitasking ini. Sejujurnya, kebanyakan peranti kelas pertengahan yang saya cuba tidak memberikan prestasi multitasking yang begitu memuaskan. Saya seringkali menerima masalah aplikasi yang direload semula walaupun diselang dengan penggunaan tiga atau empat aplikasi di belakang. Selalunya peranti-peranti yang hadir dengan antaramuka tersendiri sering memberikan masalah multitasking yang kurang lancar ini.

Kamera

Walaupun didatangkan dengan sensor 13MP f/2.0, kamera Flash Plus 2 tidak lah sebaik peranti-peranti sekelasnya yang lain. Ia sering memberikan gambar yang soft dan tidak jitu, baik untuk penggambaran pada waktu siang mahupun malam. Warna yang dipersembahkan juga agak kusam seperti mana yang dialami oleh Redmi Note 3. Dari kawalan cahaya sekeliling juga tidak begitu baik, sering kali saya mendapat gambar yang gelap dengan noise yang begitu ketara. Yang baiknya, ia dilengkapi dengan RealTone Flash yang amat dari segi kawalan warna kulit untuk penggambaran malam.

Kamera hadapannya dengan sensor 5MP f/2.4 dilihat menunjukkan prestasi yang menyerlah untuk penggambaran selfie. Wajah yang diambil sering menunjukkan hasil kulit yang cerah dan terang untuk penggambaran mesra cahaya. Namun seperti kamera di bahagian belakang juga, ia memberikan gambar selfie yang soft dan sejitu seperti peranti pesaing. Ia juga didatangkan dengan lampu flash di bahagian hadapan ini dalam memudahkan anda mengambil selfie pada waktu malam. Satu perkara lagi, ia juga dilengkapi dengan kanta sudut lebar 84.8-darjah untuk tujuan penggambaran selfie secara beramai-ramai.

[amanz-gallery]

Flash Plus 2 juga dilihat telah menampilkan satu fungsi menarik pada aplikasi kameranya iaitu Kid Mode untuk memudahkan anda mengambil gambar bayi dan kanak-kanak. Ia akan mengeluarkan bunyi-bunyian seperti haiwan dan kenderaan untuk menarik perhatian mereka ke arah kamera. Bagi saya fungsi ini sangat kreatif dan patut dihadirkan juga pada peranti lain. Dari segi fungsi lain, ia turut hadir dengan fungsi Picture-in-Picture (PiP) untuk menyertakan gambar kamera hadapan pada gambar yang diambil menggunakan kamera belakang. Beberapa fungsi yang lain turut hadir seperti HDR, Panorama, Gesture Shot, dan Time-Lapse sebagai penambah seri untuk penggambaran anda.

Dari segi rakaman video, saya mulanya agak pelik dengan format hasil rakaman peranti ini yang masih menggunakan format. 3gp. Namun setelah diteliti informasi fail dengan lebih mendalam, ia masih menggunakan codec H.264 MPEG-4 dengan audio MPEG AAC (mp4a). Bermakna, anda masih mendapat rakaman yang lancar dan jitu pada 30 frames per second dengan resolusi 1080p. Menariknya, ia turut didatangkan dengan Electronic Image Stabilization (EIS) untuk video yang membantu untuk mengurangkan gegaran ketika membuat rakaman.

Screenshot-4-Flash-Plus-2

Bateri

Bateri Flash Plus 2 masih boleh dikatakan baik walaupun hadir dengan bateri 3000 mAh. Menggunakan peranti ini sepanjang hari, ia mampu memberikan bacaan Screen on Time (SoT) selama 4 jam 57 minit. Penggunaan saya boleh dikira standard seperti menggunakan aplikasi permesejan, Youtube, Twitter & Instagram dengan sedikit pelayaran di web. Sekiranya anda ingin memanjangkan lagi jangka hayat bateri ini, ia juga didatangkan dengan aplikasi pengoptimasian bateri terbina seperti pengggunaan Smart mode & Super mode.

Apa yang paling saya sukakan mengenai peranti ini ialah pengecasan pantasnya yang dilihat paling singkat untuk peranti sekelasnya. Melalui percubaan saya, Flash Plus 2 mampu mencapai sehingga 75% dalam masa sekitar 40 minit sahaja. Seperti biasa, anda perlu menggunakan pengecas yang hadir untuk mencapai tahap pengecasan peranti dalam jangka masa singkat ini.

Rumusan

Flash Plus 2 membuktikan kepada kita bahawa peranti dengan skrin 5.5-inci, cip pemprosesan lapan-teras, memori 2GB RAM, kamera 13MP, pengimbas cap jari, dan binaan logam boleh didapati di bawah RM600. Menariknya, ia tidak mengecewakan atas kehadiran prestasi yang amat baik bersama rekaan dengan citarasa flagship.

Flash Plus 2 - DSC06025

Saya juga cukup kagum dengan pengecasan pantas peranti ini yang mampu mengecas peranti sehingga 75% dalam masa hanya 40 minit. Ia begitu pantas bagi peranti sekelasnya yang rata-rata tidak begitu menawarkan pengecasan sepantas ini. Ketahanan baterinya juga berada dalam bacaan ketahanan bateri yang baik dengan bacaan Screen on Time (SoT) 4 jam 57 minit.

Flash Plus 2 - DSC06001 5-down

Flash Plus 2 juga direka bagi yang mahukan penggunaan kedua-dua sim dan microSD secara serentak. Ia hadir dengan slot sim berasingan dan bukan hibrid seperti Redmi Note 3.

Sungguhpun begitu, kameranya tidak begitu baik seperti peranti Honor 5C mahupun Honor 5X. Gambar yang dihasilkan masih terang cuma dari segi kawalan warna, ia tidak menunjukkan prestasi yang menyerlah. Dari segi kejituan imejnya juga tidak begitu mapan dan seringkali memberikan gambar yang agak soft. Begitu juga dengan output rakaman video. Saya seakan tidak percaya bagi sebuah peranti pertengahan 2016, masih ada lagi yang menyokong format rakaman 3gp.

Pro
  • Rekaan dengan citarasa flagship
  • Prestasi harian, multitasking, dan permainan dilihat sangat baik
  • Pengecasan pantas yang mampu mencapai 75% dalam masa 40 minit
  • Pengimbas cap jari dengan fungsi File Safe
  • Hadir dengan audio Hi-Fi
  • Slot dual-sim dan slot microSD didatangkan di dalam slot berasingan
  • Harga bagi versi 3GB RAM ditawarkan hanya RM729
  • Didatangkan dengan Android 6.0 Marshmallow dengan pengalaman seumpama “stock”
Kontra
  • Kamera yang tidak begitu menyerlah dari segi kualiti gambar
  • Menekan butang home terasa tidak begitu kukuh apabila ditekan
  • Skrin perlu diaktifkan untuk menggunakan cap jari
  • Darjah pandangan skrin kelihatan terhad
  • Rakaman video 1080p hanya ditawarkan dalam format .3gp
  • Tiada sokongan IR Blaster

Namun saya boleh kata, Flash Plus 2 menjalankan tugasnya dengan cemerlang dalam memberikan prestasi harian dan jangka hayat bateri yang baik. Dari segi pengimbas cap jarinya juga mampu menyahkunci peranti dengan pantas yang hanya mengambil 0.5 saat sahaja.

Pendek kata, Flash Plus 2 mampu memberikan kepada anda sebuah peranti dengan rekaan dan pengalaman penggunaan yang sangat baik hanya di bawah RM600. Sekiranya anda mahukan peranti yang bergaya dengan prestasi yang tidak memberikan masalah, Flash Plus 2 adalah amat disyorkan.

Skor Amanz - Flash Plus 2

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd