Pandang Pertama Gran Turismo Sport – Evolusi Ke Arah E-Sukan

Pandang Pertama Gran Turismo Sport – Evolusi Ke Arah E-Sukan

Diterbitkan pada June 19, 2016 oleh .

Gran Turismo, nama besar di dalam dunia permainan penyelaku pemanduan. Dengan megah ia menggunakan moto “Penyelaku pemanduan sebenar” sejak tahun 2004. Secara peribadi GT ialah permainan yang menimbulkan minat kami kepada dunia kereta. Mengumpul sebanyak mungkin kenderaan edisi terhad seperti Renault Espace F1 ialah antara perkara yang kami gemar lakukan di dalam permainan ini. Selepas tiga tahun menanti akhirnya Gran Turismo Sport akan menemui peminat tahun ini dengan beberapa pembaharuan. Kami sempat menghabiskan sedikit masa bermain demo yang diperlihatkan di reruai GT di E3 hari ini dan bertemu dengan “bapa” siri ini Kazunori Yamauchi.

Perkara pertama yang kami sedari ialah peningkatan kualiti grafik berbanding GT 6 untuk PlayStation 3. Sekali imbas kenderaan yang dipaparkan kelihatan seperti kenderaan sebenar. Hanya latar belakang dengan tekstur penonton yang kurang realistik menyedarkan anda ini ialah sebuah permainan komputer. Sungguhpun grafik menampakkan peningkatan, GT Sport masih tidak menunjukkan sebarang kerosakan pada kenderaan apabila ia terlibat di dalam kemalangan. Kerosakan pada kenderaan ialah fitur yang diminta oleh peminat sejak GT5. Pesaing GT seperti Forza mampu melakukannya tetapi Polyphony Digital masih enggan memenuhi kehendak peminat.

GT Sports20160614_120601Demo kami terhad litar Northern Isle Speedway berbentuk bujur. Kami berlumba secara multiplayer dengan 11 kenderaan lain dan keseronokan bermain dihancurkan oleh pemandu yang lain yang kurang beretika. Kenderaan kami kerap dirodok dari belakang dan sisi sehingga berputar. Tiada penalti diberikan kepada pemandu yang agresif dan kerana tiada kerosakan berlaku walaupun merodok kenderaan (seperti radiator bocor dan kerosakan aerodinamik kereta), taktik keji ini boleh dilakukan berkali-kali. Tetapi pemain tidak perlu risau kerana taktik seperti ini akan mengurangkan status anda apabila bermain secara atas talian

Dari segi pilihan litar terdapat 19 litar dengan 27 konfigurasi berbeza. Buat pertama kali sejak GT5, litar tanah tidak berturap akan kembali. Pilihan kereta sedikit mengecewakan kerana hanya 140 kereta premium akan disertakan. Ini adalah lebih kecil berbanding 388 yang ditawarkan pada GT 6. Sunggupun kecil kesemua 140 kereta premium yang diberikan mempunyai tahap keperincian yang tinggi. Trivia menarik ialah jumlah kereta yang ditawarkan di dalam GT Sport adalah sama dengan GT asal 1997. Di bawah ialah contoh kemasan dalaman dua kenderaan dan harus diakui ia kelihatan amat terperinci.

Rekaan luaran pula boleh dikustomasi mengikut kehendak pemain. Fungsi Livery Editor yang disertakan membenarkan anda menghias kenderaan mengikut citarasa peribadi. Kami tidak diberitahu berapakah had maksimum pelekat dan warna yang boleh digunakan. Tetapi dari demo yang ditunjukkan ia adalah agak besar.

GT Sports Dan E-Sukan

Di dalam sesi khas bersama penerbit GT Sport Kazunori Yamauchi, beliau menegaskan bahawa adab memandu adalah penting pada versi terkini permainan ini. Setiap pemandu akan mempunyai markah tahap pemanduan, kelas dan semangat kesukanan. Markah semangat kesukanan bergantung kepada adab memandu ketika bermain di atas talian. Menurut Kazunori, GT Sport hanya akan memadankan pemandu kurang beradab dengan pemandu kurang beradab yang lain. Pemandu dengan markah semangat kesukanan yang rendah tidak juga tidak layak untuk menyertai pertandingan Gran Turismo Online Championship yang disokong oleh FIA.

GT Sports SocialFeatures_02_MyProfileDunia akan dibahagikan kepada tiga zon. Zon Amerika merangkumi Amerika Syarikat, Kanada dan Amerika Selatan. Zon Asia dan Oceania akan merangkumi keseluruhan Asia kecuali timur tengah. Akhir sekali ialah zon Eropah dan Timur Tengah. Tiga zon dibahagikan bagi memudahkan pemain bertemu di atas talian tanpa perbezaan zon masa yang besar. Pemandu boleh memilih untuk mewakili negara di dalam Nations Cup ataupun pengeluar kegemaran di dalam Manufacturer Fan Cup. Pelbagai acara mingguan akan dilakukan bagi mencari pemandu terbaik di dalam dua pertandingan ini di setiap zon.  Setiap pertandingan akhir di setiap zon kemudian akan disiarkan secara langsung lengkap dengan pasukan pengulas profesional.

Kepada yang mahu berlawan dengan teman diuar talian dan pada skrin yang sama, fungsi dua perlawanan secara split screen disokong. Semakin banyak permainan yang tidak menyokong fungsi dua pemain serentak sejak kebelakangan ini kerana mementingkan permainan secara atas talian. Sokongan fungsi old school ini amat dihargai golongan gamer tua seperti kami.

Aplikasi Peranti Pintar

Bagi memudahkan pemain melihat aktiviti perlumbaan yang akan diadakan, buat pertama kali aplikasi peranti pintar akan dihasilkan untuk GT. Terdapat kalendar tarikh perlumbaan dan fungsi media sosial. Menerusi aplikasi ini setiap profil pemandu dapat diakses oleh mereka pengguna lain. Video perlumbaan terkini juga boleh ditonton terus menerusi aplikasi. Tambahan lagi video promosi kenderaan terkini dari pengeluar juga boleh ditonton. Aplikasi ini akan menjadi titik pertemuan pemain GT Sport apabila tidak berada berdekatan dengan sebuah PlayStation 4.

GT Sports20160615_070907

Lesen Digital

Apa yang kami rasakan membezakan GT Sport dengan permainan lumba kereta lain ialah ia cuba untuk mengajar pemain teknik pemanduan sebenar. Ramai kami percaya sedia maklum siri Gran Turismo mempunyai kelas memandu maya yang menggunakan kurikulum sebenar FIA bagi mendapatkan lesen kelas tinggi. Dengan mengajar teknik pemanduan yang betuk, GT Sport berharap dapat mencari bakat baru sukan permotoran. Akses kepada ujian sebenar adalah terhad dan mahal. Hanya mereka yang mempunyai sokongan kewangan yang tinggi mampu memiliki lesen memandu kelas tinggi.

GT Sports20160615_070245Pemain yang berjaya melengkapi kesemua ujian lesen dengan jayanya akan mendapat lesen FIA-Gran Turismo Digital License. Dengan sokongan kelab memandu sebenar dari negara pemain, mereka kemudian boleh mencuba melakukan ujian yang sama di dunia sebenar dan mempunyai peluang menjadi pemandu kereta lumba sebenar. Setakat ini skim FIA-Gran Turismo Digital License sudah mendapat sokongan dari kelab memandu di Filipina, Mexico, China, Korea, India, Taiwan, Belgium, Denmark dan UK.

Scapes

GT Sports Scapes_KaminarimonMod bergambar di dalam GT sudah wujud sejak GT 4. Di dalam GT Sports ia kini diberi nama baru Scapes. Terdapat 1000 lokasi dunia sebenar boleh dipilih termasuk satu yang berlatar belakangkan Menara Berkembar Petronas. Kesemua kenderaan di dalam GT boleh digunakan di dalam Scapes bagi tujuan fotografi maya. Kerana kemampuan grafik yang tinggi, kami menghadapi masalah membezakan gambar sebenar dengan gambar yang diambil menggunakan Scapes.

Pelbagai parameter boleh diubah dari nilai dedahan filem, saiz aperture, filter, jenis lensa, tahap pemfokusan dan juga nisbah gambar. Kepada peminat seni fotografi automotif, mod Scapes ini pasti akan membuatkan anda menghabiskan puluhan jam untuk mendapatkan gambar yang sempurna.

Muzium Automotif

GT sejak dari hari pertama dikeluarkan mahu membezakan dirinya dari siri permainan lain seperti Need for Speed dan Ridge Racer. Ketika permainan lumba arked sedang popular, Polyphony Digital menghasilkan penyelaku memandu. GT Sport akan turut hadir dengan mod muzium automotif. Tarikh-tarikh penting dunia permotoran diletakkan bersebelahan sejarah utama dunia bagi menunjukkan perkaitan dunia automatif dan perkembangan peradaban dunia. Ini besar kemungkinan bukan fungsi yang dijangka di dalam permainan lumba kereta tetapi Kazunori Yamauchi bukanlah penerbit permainan biasa. Berfikir di luar kotak dan memaparkan mod unik seperti ini memang kepakaran beliau.

GT SportsBrandCentral_04_Museum

Kesimpulan

GT SportsArcade_01_CarSelectionGT Sport akan menemui peminat 15 November hadapan. Dari apa yang kami lihat dan cuba setakat ini ia sah GT yang tercantik pernah dihasilkan. Tetapi dunia permainan penyelaku pemanduan kini sudah banyak berubah dengan Forza Motorsport dan Project CARS meletakkan piawai yang semakin tinggi. Kazunori Yamauchi masih menegaskan apa yang dilihat sekarang bukanlah kualiti grafik sebenar. Mereka akan mencuba meningkatkan grafik supaya sehampir mungkin kepada dunia sebenar. Sebagai peminat siri ini kami berharap komponen e-sukan yang dijanjikan akan dapat direalisasikan dengan jayanya.

Apa Yang Menarik Apa Yang Kurang Menarik
  • Grafik lebih realistik.
  • Fungsi atas talian dan sosial lebih meluas.
  • Sokongan aplikasi peranti pintar.
  • Pertandingan mencari pemandu terbaik peringkat dunia.
  • Sokongan dua pemain secara split screen.
  • Masih tiada kerosakan apabila kemalangan berlaku.
  • Jumlah kenderaan dan litar yang kecil berbanding edisi terdahulu.

 


TIPS & ULASAN