Pandang Pertama Call of Duty Infinite Warfare Dan Modern Warfare Remastered

Pandang Pertama Call of Duty Infinite Warfare Dan Modern Warfare Remastered

Diterbitkan pada June 21, 2016 oleh .

Apabila trailer Call of Duty Infinite Warfare diumumkan ia menerima reaksi paling teruk di dalam sejarah siri FPS ternama ini. Lebih banyak penonton membenci apa yang mereka lihat dari menyukai pembaharuan yang diperkenalkan oleh Infinity Ward. Satu-satunya perkara yang menerima reaksi positif peminat ialah pengumuman COD Modern Warfare Remastered yang hanya boleh dimiliki dengan pembelian Infinite Warfare edisi khas.

Kami tergolong di dalam golongan yang kurang senang dengan siri COD sejak kebelakangan ini. Misi solo yang dahulunya menjadikan sisi ini unik semakin dilupakan dengan jalan cerita yang kurang menarik. Titik tolak kebencian orang ramai mungkin bermula dengan Black Ops II yang mula memaparkan teknologi masa hadapan. Secara ikhlasnya evolusi COD menjadi permainan berlatar belakangkan masa hadapan adalah tidak dapat dielakkan. COD bermula sebagai siri FPS Perang Dunia Kedua yang kemudian berubah tema ke dunia moden kerana pasaran yang dibanjiri FSS Perang Dunia Kedua.

Infinity Ward melihat evolusi peperangan di angkasa sebagai sesuatu yang munasabah dan memberikan pengalaman baru kepada pemain. Siri Battlefield pula mengambil langkah berbeza dan kembali ke Perang Dunia Pertama. Kami bernasib baik kerana menghadiri sesi khas untuk media yang dianjurkan oleh Activision. Ini ialah pandangan pertama kami tentang Inifnite Warfare dan Moden Warfare Remastered.

Ke Infiniti Dan Seterusnya

Demo yang kami tonton ialah sekitar 15 minit. Ia bermula dengan serangan mengejut oleh pihak yang menggelar diri mereka The Front. Serangan yang dilakukan di Brussels ini memaksa Captain Reyes, watak yang dikawal oleh pemain untuk menjadi ketua kapal pesawat angkasa Retribution. Di Brussels Reyes menentang pasukan tentera manusia dan robot milik The Front. Beberapa senjata digunakan oleh Reyes diperlihatkan seperti raifal, shotgun, bom tangan ledakan elektrik dan robot lelabah yang memburu musuh secara automatik.

Video permainan yang diperlihatkan kami difahamkan adalah masih di dalam peringkat Pre-Alpha. Elemen HUD masih belum kelihatan. Agak aneh melihat senjata ditembak tanpa sebarang petunjuk jumlah peluru yang tinggal serta ketiadaan mini map. Kualiti tekstur juga adalah rendah dan kelihatan seperti dari zaman Xbox 360 walaupun ia adalah diambil dari binaan Xbox One. Ia adalah berbeza dari beberapa gambar promosi yang kami terima secara terus dari Activision.

COD Infinite Modern003AI musuh juga seperti masih belum diprogram dengan betul. Mereka hanya menanti untuk ditembak dan tidak mendatangkan sebarang masalah kepada Reyes dan rakan-rakan. Tiada perubahan enjin dilakukan dari Advanced Warfare. Apa yang dilakukan hanyalah pembaharuan kepada sistem fizik. Kali ini pergerakan dan animasi musuh berubah mengikut kawasan tubuh mana yang ditembak. Sistem AI Frantic State juga digunakan di mana musuh akan memantang semula pemain bergantung kepada corak permainan mereka. Sebagai contoh mereka tidak akan terus menyorok di belakang dinding apabila ditembak. Apabila mengesan tembakan berhenti mereka akan terus cuba membalas tembakan.

Selain itu kami juga melihat fungsi menggodam tentera robot musuh. Mereka boleh dikawal dari jauh untuk meletupkan diri atau dikawal untuk menembak rakan-rakan mereka sendiri. Reyes ditunjukkan menggodam sebuah robot di dalam pesawat pengangkut robot. Apabila robot digodam pandangan pemain automatik berubah kepada pemandangan robot di dalam pesawat ini.  Ini kami rasakan adalah agak menarik.

Pemain juga boleh mengawal pesawat pejuang Jackal. Jackal ialah pesawat angkasa yang mampu terbang secara mengapung dan memberikan bantuan tembakan mesingan ke atas posisi musuh. Kedudukan musuh perlu diimbas terlebih dahulu dan kemudian pemain memilih musuh manakah yang harus dihapuskan Jackal yang mampu terbang tanpa juruterbang.

Dari Bumi Terus Ke Angkasa

Usai menghentikan serangan The Front di Brussels, beberapa Jackal mendapat dan Reyes terus masuk ke ruangan kokpit pesawat. Pesawat terus melonjak ke udara dan menyertai beberapa pesawat perang gergasi dan terbang ke angkasa lepas. Keseluruhan babak epik ini berlangsung tanpa henti dan skrin loading. Dari bumi kami terus dibawa ke angkasa lepas dalam masa 30 saat. Ini sesuatu yang tidak pernah kami lihat sebelum ini. Babak paling hampir kepada apa yang kami lihat di dalam demo ini ialah seperti misi Hunter Killer dari Modern Warfare 3.

Jika anda ingat pemain memulakan misi di dasar laut sebelum memasuki kapal selam musuh. Selepas kesemua musuh dibunuh pemain keluar dari kapal selam dan melihat peperangan laut skala besar di pelabuhan New York. Bezanya ialah di dalam Infinite Warfare ia berlaku pada skala lebih besar. Apabila di angkasa lepas pemain mengawal Jackal milik Reyes untuk menyerang kapal induk yang bertanggungjawab menghantar tentera The Front ke Brussels.

COD Infinite Modern002Jackal digunakan untuk memusnahkan rudal meriam di atas kapal perang musuh. Selepas itu permainan kembali ke luar pesawat dengan pertempuran di dalam graviti sifar. Pemain mempunyai kemampuan menggunakan sistem cangkuk untuk bergerak ataupun menarik musuh bagi melakukan aksi malee. Demo ini berakhir dengan musnahkan kapal angkasa musuh.

Dari apa yang kami lihat di dalam demo selama 15 minit ini bolehlah dirumuskan COD cuba memberikan pengalaman baru kepada pemain yang mengaku sudah bosan dengan formula yang sama saban tahun. Aksi blockbuster setanding filem Hollywood COD masih dikekalkan tetapi kini digabungkan dengan cara permainan baru. Kami menyukai perubahan yang dilakukan. Tetapi adakah peminat siri ini akan menerimanya? Berdasarkan reaksi yang amat negatif terhadap trailer asal Infinite Warfare ianya sukar untuk diramal tetapi demo yang diperlihatkan di E3 ini sekurang-kurangnya memberikan harapan yang positif.

Modern Warfare Remastered

Harus kami akui melihat demo Modern Warfare Remastered adalah lebih mengujakan berbanding demo Infinite Warfare. Mungkin kerana nostalgia menghabiskan puluhan jam di dalam permainan ini ketika di kolej dahulu membuatkannya lebih menarik. Misi kapal pengangkut diperlihatkan kepada kami dan seperti yang dijanjikan kualiti grafik dipertingkat jika dibandingkan dengan versi asal 2007. Agak sukar dipercayai permainan ini sudah hampir berumur satu dekad.  Sungguhpun begitu kesannya terhadap genre FPS masih dapat dirasai.

Modern Warfare Remastered dihasilkan menggunakan enjin yang sama yang digunakan pada Infinite Warfare. Keseluruhan aset dan tekstur permainan ini dihasilkan semula dan bukannya dikitar semula dari permainan asal. Perubahan paling ketara bagi kami ialah pencahayaan dan animasi pergerakan yang lebih realistik. Sistem fizik objek juga dipertingkatkan dengan objek seperti kain berkibar apabila ditiup angin.

COD Infinite Modern004Kepada pengguna PC yang mengatakan menggunakan Mod sudah memandai kami rasakan pendapat ini adalah salah. Mod sedia ada tidak meningkatkan jumlah poligon pada watak yang dikawal, tidak menambah sistem fizik generasi terkini dan menggunakan sistem pencahayaan lebih realistik. Apa yang dilakukan oleh Raven Software pada versi remastered ini adalah lebih dari sekadar memberikan tekstur beresolusi tinggi seperti kebanyakan permainan remastered di pasaran sekarang.

Demo terhenti sehingga Soap MacTavish melompat masuk ke dalam helikopter di akhir misi. Dari segi grafik memang tidak dapat dinafikan Modern Warfare Remastered kelihatan seperti permainan generasi semasa. Masalah yang wujud ialah dari segi gameplay. Harus diingati Modern Warfare muncul sembilan tahun yang lalu. Dunia FPS dan terutamanya COD sudah berubah. Versi Remastered ini pada hemat kami adalah seperti membalut kulit dan otot baru pada rangka yang sudah tua.

Tiada Sokongan VR

VR ialah perkara yang mendapat liputan hangat di E3 tahun ini. Jadi kami rasakan mengejutkan apabila pihak Infinity Ward mengatakan mereka tidak akan memberikan sokongan VR untuk Infinite Warfare dan Modern Warfare Remastered. Pada hemat kami permainan seperti COD ialah yang sepatutnya menyokong peranti realiti maya seperti Vive dan bukannya permainan seperti Final Fantasy XV dan Resident Evil 7.

Demo juga disahkan tidak akan dihasilkan oleh Infinity Ward. Kepada yang mahu mencuba dahulu ini pastinya mengecewakan.

Akhir sekali kepada mereka yang mahukan edisi remastered Call of Duty era Perang Dunia Kedua, sila simpan impian anda kerana sekali lagi Infinity Ward tidak bercadang untuk menghasilkannya dalam masa terdekat.

Kesimpulan

COD Infinite Modern001Dari apa yang kami lihat Infinite Warfare adalah jauh lebih menarik dari trailer yang diperlihatkan sebelum ini. Peminat tidak perlu risau siri FPS kegemaran mereka kehilangan identiti. Kesemua ramuan yang menjadikan COD siri FPS paling laku di dunia masih ada cuma dimasak dengan teknik berbeza bagi menghasilkan juadah yang lebih menyelerakan peminat. Pertempuran di angkasa menggunakan pesawat Jackal dan sifar graviti akan memberikan cabaran baru kepada veteran COD.

Berkenaan Modern Warfare Remastered pula ianya cantik tetapi dari apa yang kami lihat setakay ini hanya penambahbaikan kosmetik. Corak permainan sudah ketinggalan zaman kerana ia sebuah permainan berusia sembilan tahun. Kepada yang merindui Modern Warfare kami yakin ini permainan yang akan anda miliki walaupun menerima ulasan negatif. Secara peribadi kami masih berharap ia akan dijual secara berasingan dari Infinite Warfare di masa hadapan.

Apa Yang Menarik Apa Yang Kurang Menarik
  • Peperangan pada skala lebih epik dari apa yang dilihat di dalam COD sebelum ini.
  • Musuh memberikan reaksi lebih realistik mengikut lokasi ditembak.
  • Peperangan dari bumi ke angkasa serta sifar graviti nampak menarik. Perubahan paling besar setakat ini.
  • Pemilihan senjata sebelum memulakan kempen yang juga tidak linear.
  • Dari segi grafik tiada menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding versi tahun lalu.
  • Tiada maklumat langsung mengenai Multiplayer.
  • Tiada sokongan VR
  • Masih tiada perancangan menjual Modern Warfare Remastered secara berasingan.


TIPS & ULASAN