Guna Macbook? Mari Ketahui Apa Yang Baru Pada macOS Sierra

Guna Macbook? Mari Ketahui Apa Yang Baru Pada macOS Sierra

Diterbitkan pada June 21, 2016 oleh .

Setiap tahun, Apple memperkenalkan versi baru sistem operasi mereka untuk peranti mudah-alih, mahupun untuk komputer. Pada tahun ini, Apple membuat sedikit perubahan dari segi penamaan untuk sistem operasi komputer mereka. Ia tidak lagi dikenali dengan nama OS X, sebaliknya macOS.

Versi pertama dibawah macOS adalah macOS Sierra. macOS Sierra ini akan hadir sekitar bulan September atau Oktober ini kepada pengguna umum, dan ia bakal menyertakan sejumlah fungsi baru yang menarik.

Siri Pada macOS

macOS Sierra

Menjadi salah satu fokus utama pada macOS adalah integrasi Siri. Kini, pengguna boleh berinteraksi dengan komputer berasaskan arahan suara, disamping membuat beberapa perkara yang khusus pada komputer – termasuk membuat carian dokumen dan sebagainya. Memandangkan Siri sedia menyokong bahasa Malaysia, mungkin kita akan turut melihat ia diperlanjutkan ke macOS kelak.

Pengguna juga boleh pin-kan sesetengah hasil carian daripada Siri kepada pusat notifikasi dalam bentuk widget. Selain daripada itu, carian gambar pada Siri juga kini boleh ditarik dan dimasukkan ke dalam dokumen seperti emel. Pengenalan Siri ini dilihat akan memudahkan lagi proses multi-tasking oleh pengguna.

Akses Komputer Dengan Automatik Melalui Apple Watch

macOS Sierra

Kebiasaannya, pada OS X, pengguna akan diperlukan untuk memasukkan kata laluan terlebih dahulu sebelum dapat mengakses komputer. Pada macOS Sierra, pihak Apple ingin memudahkan proses berkenaan bagi pengguna Apple Watch.

Kini, anda boleh log masuk ke komputer anda dengan Apple Watch – membuatkan akses anda untuk menggunakan komputer lebih pantas berbanding kebiasaan.

Universal Clipboard

macOS Sierra

Apple sering memfokuskan kepada ekosistem mereka, dan melalui macOS, Apple mengintegrasikan ekosistem mereka dengan lebih baik. Kini, melalui integrasi Universal Clipboard, pengguna boleh menyalin gambar atau video daripada iPhone, dan mengaksesnya terus pada Mac.

Mengosongkan Ruangan Storan Komputer Bila Diperlukan

Kebiasaannya, pada komputer pengguna akan menggunakan perisian pihak ketiga untuk memadam dan mengosongkan ruangan. Untuk macOS Sierra, Apple memudahkan perkara berkenaan melalui fungsi dinamakan Optimized Storage.

Kini, apabila ruangan anda semakin penuh pada komputer, macOS Sierra akan secara automatik mengosongkan fail yang tidak digunakan dan membuang fail-fail yang berulang pada komputer anda. Fail yang tidak digunakan untuk tempoh lama juga akan disimpan pada iCloud dan boleh diakses apabila diperlukan.

Picture-in-Picture

macOS Sierra

Pada iOS sebelum ini, Apple telah memperkenalkan fungsi dinamakan Picture-in-Picture. Ia membolehkan anda terus memainkan video dalam tetingkap bersaiz kecil ketika melayari web atau mengakses aplikasi lain. Kini, fungsi serupa turut dibawa ke sistem operasi komputer, macOS Sierra.

Tabs Untuk Memudahkan Multi-Tasking

Bagi anda yang menggunakan pelayar web, mungkin sedia kenali penggunaan Tab yang memudahkan anda untuk mengakses beberapa halaman web dengan mudah pada sesuatu masa. Konsep serupa kini turut diimplementasi secara keseluruhan pada macOS Sierra, membolehkan anda mengakses pelbagai perkara dalam bentuk Tab. Ini semestinya sangat memudahkan pengguna, terutamanya jika anda sering membuat pelbagai penyuntingan dokumen dan mengakses pelbagai aplikasi lain pada masa yang sama.


Disamping ini, terdapat juga beberapa fungsi lain seperti penyertaan Apple Pay pada pelayar web, antaramuka baru Apple Music, serta integrasi pembelajaran mesin pada Photos seperti di iOS 10.

macOS Sierra bakal ditawarkan secara percuma kepada semua pengguna OS X terkini. Bagi anda yang tidak sabar menantikannya, mungkin boleh memuat-turun versi beta untuk sistem operasi ini yang dijangka diperkenalkan sekitar bulan Julai ini.


TIPS & ULASAN