ALPHA – Kecerdasan Buatan Yang Berjaya Mengalahkan Juruterbang Pesawat Pejuang Manusia

ALPHA – Kecerdasan Buatan Yang Berjaya Mengalahkan Juruterbang Pesawat Pejuang Manusia

Diterbitkan pada June 29, 2016 oleh .

Kami ingin melakukan pengakuan. Ketika bosan kami gemar menonton filem aksi peperangan yang boleh dikategorikan sebagai bodoh. Filem Stealth yang memaparkan dron dengan kecerdasan buatan kerap kami tonton kerana ia memaparkan aksi yang tidak mungkin dilakukan di dunia sebenar. Mana mungkin sebuah program komputer mampu mengalahkan manusia di dalam pertempuran. tetapi realitinya fiksyen yang dipaparkan di dalam Stealth kini sudah hampir menjadi realiti.

ALPHA ialah kecerdasan buatan yang dibangunkan oleh University of Cincinati dan Psibernetix Inc. Di dalam ujian di dalam penyelaku penerbangan, ALPHA berjaya mengalahkan Colonel Gene Lee, seorang juruterbang pesawat pejuang yang juga pengajar teknik pertempuran sepenuh masa. Di dalam kesemua ujian simulasi, ALPHA menembak jatuh pesawat maya yang diterbangkan Colonel Lee. Keputusan penyelaku ini amat mengejutkan Colone Lee kerana beliau sudah menguji pelbagai kecerdasan buatan sejak 1980an. ALPHA ialah yang pertama yang gagal dikalahkan oleh beliau selepas melakukan pelbagai percubaan.

Berbeza dengan manusia ALPHA mampu berfikir 250 kali lebih pantas berbanding manusia. Kesemua parameter pesawat dipantau serta merta dan memberikan kelebihan kepada kecerdasan buatan. Program komputer ini juga tidak mempunyai halangan tubuh badan seperti manusia. Jika teknik penerbangan ALPHA cuba ditiru manusia, mereka mungkin akan pitam dan terbunuh kerana daya-g yang tinggi. Apa yang kami rasakan menarik ialah ALPHA hanya diperkasakan oleh sebuah komputer Raspberry Pi berharga $35!

Berita baik bagi umat manusia ialah ALPHA masih sebuah program komputer yang masih diuji. Tiada pesawat pejuang sebenar dilengkapi sistem kecerdasan pintar ini setakat ini. Jadi buat masa ini anda tidak perlu risau ia berubah menjadi Skynet.

 


TIPS & ULASAN