Webe Mula Menawarkan Pelan Data Dan Panggilan Tanpa Had Pada Harga RM79 Sebulan

Webe Mula Menawarkan Pelan Data Dan Panggilan Tanpa Had Pada Harga RM79 Sebulan

Diterbitkan pada June 30, 2016 oleh .

Webe hari ini telah mula membolehkan para pengguna P1 dan TM terpilih untuk mendaftar dan menggunakan pelan Webe bersama-sama peranti mereka. Melalui apa yang ditawarkan, Webe menawarkan pakej mereka pada harga bermula RM79 (RM84 jikalau termasuk GST) untuk akses pelan data tanpa had, termasuk pakej panggilan dan SMS.

Pelan data tanpa had ini hanya terhad untuk digunakan pada satu telefon sahaja, dan sekiranya pengguna memilih untuk menggunakan ia bersama peranti lain melalui sokongan Hotspot, pengguna akan perlu membayar RM6.36 untuk dua jam. Menurut Lowyat.NET, pengguna akan terhad kepada penggunaan panggilan dan SMS bernilai RM500 sebulan supaya pengguna tidak menyalah-guna rangkaian mereka.

Dari segi harga asal tanpa sebarang potongan, Webe menawarkannya pada harga RM199 sebulan untuk penggunaan data tanpa had, selain panggilan dan juga SMS. Walaubagaimanapun, selepas potongan diskaun untuk pengguna P1 dan TM bernilai RM60 – selain potongan tambahan RM60 untuk mereka yang mempunyai peranti yang menyokong talian Webe, pengguna hanya perlu membayar sekitar RM79 sebulan (tanpa termasuk GST).

Webe

Bagi anda yang merupakan pengguna pelan P1 atau TM, anda mungkin boleh semak di laman rasmi Webe hari ini sama ada anda boleh mendaftar untuk pelan baru ini ataupun sebaliknya.

Webe melalui laman Facebook turut mengatakan tiada sebarang kontrak untuk talian mereka. Bagi anda yang mendaftar, anda akan menerima pek SIM terus melalui penghantaran pos.


TIPS & ULASAN