DNAWatch – Teknologi Nano Memudahkan Proses Kenal Pasti Jam Tangan Mewah Palsu

DNAWatch – Teknologi Nano Memudahkan Proses Kenal Pasti Jam Tangan Mewah Palsu

Diterbitkan pada July 1, 2016 oleh .

Beberapa bulan yang lalu dunia media sosial Malaysia gempar dengan laporan selebriti berkumis epik dikatakan memakai jam tangan mewah palsu. Beliau bertegas jam tangan beliau yang mempunyai nilai yang sama dengan harga kereta kompak buatan tempatan adalah asli. Sebuah akaun Instagram kemudian dibuka yang memaparkan gambar artis-artis lain yang didakwa memakai jam tangan palsu untuk kelihatan seperti mereka berada.

DNAWATchKami tidak mempunyai masalah dengan produk palsu. Ketika di  MRSM dahulu kami memakai WalkMan keluaran AIWAI dengan fon kepala keluaran SUNAI. Kami memakai produk palsu kerana sekiranya dirampas warden atau dicuri, kerugian yang ditanggung adalah rendah. Produk palsu ini merugikan sekiranya anda mahu membeli produk asli tetapi penjual tidak amanah.

DNAWatch ialah sistem pengenalan baru yang memudahkan proses mengenal pasti jam tangan mewah palsu. Ia dibangunkan oleh Ecole Polytechnique Fédérale de Lausanne (EPFL)  di Switzerland. Negara Switzerland terkenal dengan industri jam mereka. Bagi memastikan nama produk pengeluar tidak tercalar oleh produk tiruan, DNAWatch ini dihasilkan. DNAWatch menggunakan nanokristal yang dihasilkan menggunakan bahan kimia rahsia untuk melukis logo pengesahan keaslian pada permukaan logam dan kaca jam tangan. Apabila dilihat di bawah cahaya ultra violet, logo yang tersembunyi akan boleh dilihat dengan mudah. Pengeluar boleh menggunakan logo rekaan tersendiri untuk produk keluaran mereka.

Teknik keselamatan ini mempunyai persamaan dengan sistem yang digunakan pada wang kertas. Menurut EPFL adalah sukar untuk memalsukan logo tersembunyi mereka ini keran penggunaan bahan kimia rahsia dan mesin mencetak yang mahal. Kepada peminat jam tangan palsu, pastikan anda menjauhi mereka yang mempunyai lampu ultra violet sekiranya tidak mahu tembelang pecah.


TIPS & ULASAN