Carian
Pengeluar Kenderaan Jerman Perlu Mementingkan Kenderaan Mesra Alam Menjelang 2030
July 4, 2016 Effi Saharudin

Bila bercakap mengenai Jerman, kehebatan industri automotif mereka sering dibincangkan. Mercedes Benz, BMW , Audi dan  Volkswagen ialah empat nama besar di dalam industri automotif dunia yang berasal dari Jerman. Kenderaan mereka terkenal dengan kepantasan dan kemewahan. Mengikut pelan perancangan kerajaan Jerman, menjelang 2030 mereka mungkin akan menjadi nama besar di dalam penghasilan kenderaan mesra alam.

Kereta-Elektrik-JermanKerajaan Jerman sedang merangka Climate Protection Plan 2050 (Pelan Perlindungan Iklim 2050). Menerusi pelan ini, pencemaran udara dari kenderaan penumpang perlu dikurangkan sebanyak 45% dan pencemaran kenderaan komersial sebanyak 54%. Langkah drastik yang mungkin diambil ialah memaksa pengeluar kenderaan Jerman untuk mengutamakan penghasilan kenderaan elektrik dan hibrid menjelang 2030.

Pada waktu ini terdapat 25000 kenderaan elektrik dan 130000 kenderaan hibrid di seluruh Jerman. Ini jumlah yang kecil berbanding 30 Juta kenderaan petrol dan 15 Juta kenderaan diesel. Pengurangan kenderaan menggunakan bahan api fosil ini diharap dapat memperbaiki kualiti udara seterusnya memulihkan bumi dari kemusnahan sebelum ianya terlambat.

Hujung minggu lalu kami laporkan lubang ozon sudah mengecil 4 Juta kilometer persegi jika dibandingkan dengan ukuran tahun 2000. Perjanjian Motreal yang ditandatangani pada tahun 1986 untuk mengharamkan CFC menunjukkan kesan positif.  Apa yang dilakukan Jerman ini seharusnya menjadi ikutan negara lain bagi memastikan masa depan bumi yang lebih baik untuk generasi seterusnya. Ianya masih tidak sedrastik apa yang dilakukan Norway yang akan mengharamkan terus kenderaan bahan api fosil menjelang 2025.

Komen