Cari @ Amanz

Kenderaan elektrik mula digunakan secara meluas pada kenderaan peribadi dan komersial. Di Malaysia kadar penggunaan masih lagi di tahap rendah kerana infrastruktur yang masih belum dibangunkan sepenuhnya. Tetapi sudah wujud syarikat tempatan yang menghasilkan kenderaan elekrtik untuk kegunaan pengangkutan awam. EBIM (Elektrik Bas Inovasi Malaysia) ialah bas elektrik rekaan tempatan yang bakal beroperasi di jalan raya Kuala Lumpur seawal 2017.

EBIM-Bas-elektrik-2

EBIM dihasilkan oleh Sync R&D Sdn Bhd dan telah dibangunkan sejak 2011. Bas elektrik 100% elektrik ini mampu bergerak sejauh 200 kilometer sebelum perlu dicas. Tempoh pengecasan pula hanya mengambil masa selama tiga jam. Antara teknologi yang digunakan di dalam bas rekaan anak watan ini ialah sistem brek janaan semula (regenerative braking) yang menjana semula tenaga tenaga elektrik menerusi motor (yang kini berubah menjadi dinamo) apabila brek digunakan. Pembaziran tenaga dapat dikurangkan menjurus kepada jarak panduan lebih optimum.

Kelebihan bas elekrtik berbanding bas konvensional ialah ia bukan sahaja tidak mencemarkan udara malahan tidak menghasilkan bunyi bising enjin diesel. Penumpang juga akan lebih selesa kerana tidak seperti enjin diesel, bas elektrik tidak menghasilkan gegaran ketika bergerak. Ketiadaan masalah gegaran juga membuatkan bas elektrik lebih tahan lama dengan kos penyelenggaraan yang lebih rendah.

Pengangkutan awam elekrtik buatan tempatan sudah wujud. Terpulang kepada pengusaha untuk berubah kepada sistem kenderaan yang lebih mesra alam, selesa dan paling penting mempunyai kos operasi lebih rendah.

EBIM-Bas-elektrik-3

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd