Google Dilaporkan Akan Hadir Dengan Dua Jam Tangan Pintar Android Wear Berjenama Nexus

Google Dilaporkan Akan Hadir Dengan Dua Jam Tangan Pintar Android Wear Berjenama Nexus

Diterbitkan pada July 7, 2016 oleh .

Penggunaan jenama Nexus selari dengan penawaran sesuatu produk berasaskan Android yang hadir tanpa sebarang penambahan dari pihak ketiga, dan lebih memfokuskan kepada para pembangun. Kini, selain daripada hanya telefon pintar, Google dilaporkan akan turut hadir dengan dua jam tangan pintar Android Wear – berkemungkinan besar berjenama Nexus.

Jam tangan pintar Android Wear baru ini dijangka diperkenalkan selepas telefon pintar Nexus untuk tahun ini diperkenalkan.

Android Wear

Kedua-dua jam tangan pintar ini dijangka membawa rekaan berbentuk bulat. Satu dikenali dengan nama kod Angelfish. Jam tangan pintar ini dikatakan sedikit tebal, dan akan hadir dengan sokongan LTE terbina bagi membolehkan ia digunakan tanpa memerlukan telefon pintar. Disamping itu, jam tangan pintar ini juga akan dilengkapi sokongan GPS dan juga sensor untuk memantau denyutan nadi.

Satu lagi jam tangan pintar yang dijangka diperkenalkan dikenali dengan nama kod Swordfish. Jam tangan pintar ini akan hadir dengan fungsi yang lebih terhad – menjadikan ia lebih nipis. Tiada sokongan rangkaian LTE dan GPS akan disertakan pada jam tangan pintar ini. Kedua-dua jam tangan pintar ini akan menyokong integrasi Google Assistant.

Arena jam tangan pintar sendiri masih lagi baru, dan tidak ramai yang menggunakannya disebabkan oleh beberapa perkara – termasuk kerana harga jualannya, dan sokongan bateri yang tidak begitu lama.

Apa pun, ia sesuatu yang menarik untuk melihat Google memperluaskan penggunaan jenama Nexus mereka, dan hadir dengan produk mereka tersendiri – sekaligus memberikan lebih pilihan kepada pengguna.

Kita mungkin akan mendengar lebih lanjut mengenai jam tangan pintar Nexus daripada Google ini dalam minggu-minggu akan datang.


TIPS & ULASAN