Samsung hari ini telah memperkenalkan satu lagi edisi khas telefon pintar mereka, iaitu bertemakan kepada sukan Olimpik Rio 2016. Ia membawakan pelbagai penawaran dan spesifikasi yang serupa – tetapi dengan sedikit penambahan kandungan dan juga rekaan bertemakan sukan Olimpik.
Galaxy S7 Edge edisi khusus Olimpik ini hadir dengan rekaan logo Olimpik pada bahagian belakang, disamping turut menggunakan warna berbeza bertemakan Olimpik pada bahagian butang dan juga speaker.
Hadir bersama telefon pintar ini adalah aplikasi rasmi Rio 2016 yang dibangunkan bersama oleh Samsung – menawarkan pelbagai kemaskini semasa sukan Olimpik. Aplikasi ini juga kelak akan ditawarkan secara percuma kepada semua pengguna melalui Google Play Store.
Dengan pengenalan ini juga, Samsung mengumumkan mereka akan menawarkan lebih 12,500 Galaxy S7 Edge Olympic Games Limited Edition dan juga Gear IconX kepada semua atlet Rio 2016 – sekaligus memudahkan lagi mereka untuk kekal berhubung dan berkomunikasi dengan ahli keluarga dan rakan.
Samsung turut akan menawarkan telefon pintar edisi khusus Olimpik ini secara terhad di beberapa negara terpilih bermula 18 Julai 2016 ini. Harga jualannya masih tidak diketahui lagi. Sebelum ini, Samsung menawarkan Galaxy S7 Edge edisi Injustice pada harga RM4099 di Malaysia – yang turut hadir bersama Gear VR.
https://www.youtube.com/watch?v=jRW4FyJ2p1s