Nvidia Memperkenalkan Kad Grafik GeForce GTX 1060 – Menawarkan Prestasi Seumpama GTX 980

Nvidia Memperkenalkan Kad Grafik GeForce GTX 1060 – Menawarkan Prestasi Seumpama GTX 980

Diterbitkan pada July 8, 2016 oleh .

NVIDIA hari ini telah memperkenalkan satu lagi penawaran mereka untuk mereka yang meminati permainan video, iaitu kad grafik GeForce GTX 1060. Ia akan hadir dengan 6GB GDDR5 RAM, dan ditawarkan kepada mereka yang inginkan kad grafik pada nilai yang lebih mampu milik, tetapi hadir dengan prestasi yang sangat baik.

GeForce GTX 1060

GeForce GTX 1060 ini hadir dengan rekaan Pascal yang menawarkan prestasi pemprosesan yang lebih pantas serta menjimatkan tenaga berbanding pesaing terdekatnya. Perkara ini sekaligus membolehkan GTX 1060 menawarkan kuasa pemprosesan yang berkuasa seumpama GTX 980 sebelum ini. Penggunaan rekaan Pascal juga membolehkan kad grafik ini turut digunakan oleh pengguna bagi menikmati kandungan realiti-maya atau penggunaan lebih dari satu monitor dengan baik melaluinya.

Walaubagaimanapun, salah satu kekurangan pada kad grafik ini adalah ketiadaan sokongan SLI – membuatkan anda hanya boleh menggunakan satu kad grafik sahaja, dan tidak boleh menghubungkan lebih daripada satu kad grafik. NVIDIA GeForce GTX 1060 turut hadir dengan tiga output DisplayPort 1.4, satu port HDMI 2.0b dan satu port DVI-D Dual-Link.

NVIDIA dilihat memposisikan kad grafik ini sebagai pesaing untuk AMD Radeon RX 480, dan akan ditawarkan bermula bulan ini pada harga $249. Harga jualan rasmi tempatan masih tidak diketahui lagi buat masa ini.


TIPS & ULASAN