Cari @ Amanz

Samsung pada minggu ini telah memperkenalkan Galaxy J2 2016 yang menyertakan fungsi Smart Glow, dan satu lagi peranti yang telah diperkenalkan oleh mereka adalah Galaxy J Max. Ia membawakan skrin bersaiz 7-inci, dan masih dikategorikan oleh Samsung sebagai sebuah telefon pintar.

Seperti keluarga Galaxy J 2016 yang lain, ia turut menyertakan fungsi rangkaian LTE dan panggilan melalui VoLTE – salah satu teknologi baru yang telah mula diimplementasikan di Malaysia dalam menawarkan panggilan suara yang jelas di antara pemanggil.

Galaxy J Max

Galaxy J Max turut hadir dengan cip empat-teras 1.5Ghz, memori 1.5GB RAM, dan ruangan storan 16GB yang boleh diperluaskan dengan menggunakan kad mikro-SD.

Peranti ini menggunakan kamera belakang 8-megapixel dan kamera hadapan 2-megapixel. Berbeza berbanding tablet atau telefon 7-inci yang lain, kamera belakang pada peranti ini menyertakan sokongan lampu LED bagi merakamkan gambar dengan terang.

Dengan saiz yang besar, ia turut menyertakan bateri berkapasiti 4000mAh, serta menggunakan Android 5.1 Lollipop dengan antaramuka TouchWiz.

Ia masih tidak diketahui lagi bilakah akan mula dijual di pasaran tempatan. Buat masa ini ia hanya dilancarkan di India pada harga INR 13,400 (~RM797).

Galaxy J Max

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd