Asus ketika memperkenalkan Asus Zenfone 3 Deluxe, mereka mengatakan ia menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 820 – selain beberapa variasi peranti dengan spesifikasi lebih rendah. Namun, kini dengan pengenalan cip Snapdragon 821 secara rasminya, halaman produk untuk Asus Zenfone 3 Deluxe telah dikemaskini dengan sokongan sehingga cip Snapdragon 821.
Ini sekaligus menjadikan Asus Zenfone 3 Deluxe antara peranti terawal yang mungkin hadir dengan cip pemprosesan berkenaan. Menggunakannya, ia kini menawarkan kuasa pemprosesan 10% lebih pantas berbanding dengan Snapdragon 820. Memandangkan Asus sering hadir dengan penawaran pelbagai variasi, tidak mustahil untuk kita turut melihat versi Snapdragon 820 hadir ke pasaran.
Asus Zenfone 3 Deluxe dilihat akan menawarkan pelbagai sokongan dan spesifikasi terkini – turut dilengkapi dengan memori 6GB RAM dan ruangan storan sehingga 256GB berasaskan UFS 2.0.
Asus sebelum ini mengatakan mereka menyasarkan untuk menawarkan peranti berkenaan di Malaysia sekitar bulan Ogos kelak.