Penantian untuk iterasi terkini Galaxy Note akan berakhir 2 Ogos hadapan. Samsung mengesahkan phablet ini akan dilancarkan di New York pada acara Samsung Unpacked 2016 New York. Rahsia mengenai rekaan dan spesifikasi Note 7 telah lama tertiris. Buat pertama kalinya Samsung melompat satu nombor dalam penamaan peranti. Galaxy Note 7 Juga dijangka adalah phablet pertama mereka dengan skrin dwi-lengkung daripada Samsung.
Bercakap mengenai penggunaan angka 7, Samsung mengatakan ia akan menyelarikan penggunaan nombor siri pada keluarga peranti mereka, disamping turut melengkapkan keluarga penawaran siri telefon pintar Galaxy S7 dan Galaxy S7 Edge sebelum ini.
Spesifikasi lain yang diketahui ialah skrin 5.7″ SAMOLED QHD, sistem imbasan anak mata dan stylus yang dipertingkatkan. Dari segi kemampuan optik ia dipercayai akan menggunakan kamera yang sama seperti yang digunakan pada Galaxy S7 yang merupakan antara kamera terbaik pada peranti pintar sekarang. Segala spekulasi mengenai spesifikasi penuh Note 7 akhirnya akan terjawab kurang sebulan dari sekarang.