Cari @ Amanz

Peranti utama HTC 10 yang dinantikan kemunculannya sejak April lalu akhirnya tiba di pasaran Malaysia. Seperti versi HTC One sebelum ini, HTC 10 mengekalkan skrin sebesar 5.2″ QHD LCD5, diperkasakan pemproses Snapdragon 820, RAM sebesar 4 Gigabyte dan storan dalaman 32 Gigabyte. Kepada yang gemar memerlukan penambahan storan, peranti ini menyokong kad MikroSD sehingga 2 Terabyte. Ia menggunakan Android Marshmallow dengan pelancar HTC Sense terkini.

HTC 10 Malaysia20160714_142419

Keseluruhan peranti diperbuat daripada logam dengan bahagian belakang yang melengkung bagi memastikan keselesaan maksimum. Kemampuan optik pula ialah kamera 12 Ultrapixel f/1.8 dengan sokongan OIS. Menarik sekali kemera selfie 4 Ultrapixel hadapan turut mempunyai sokongan OIS. Ini tidak pernah dilihat pada peranti lain di pasaran sebelum ini. Dari segi bateri ia dilengkapi bateri sebesar 3000 mAh yang menyokong sistem pengecasan pantas QuickCharge 3.0. Ini dilakukan menerusi port pengecasan USB-C pada bahagian bawah peranti.

HTC 10 Malaysia20160714_142407

Sedikit kelainan pada HTC 10 ialah kali ini ia hadir dengan butang navigasi kapasitif pada bahagian dagu. Pada M8 dan M9 butang navigasi pada skrin digunakan. Dengan ini HTC 10 kembali kepada rekaan butang navigasi seperti pada M7. Seperkara lagi terdapat pengimbas cap jari merangkap sebagai butang home pada bahagian dagu. Ini menyebabkan sistem audio stereo pada panel hadapan yang menjadi rekaan unik peranti HTC One tidak lagi digunakan.

HTC 10 dijual mulai hari ini pada harga RM 2799 sebuah dengan dua pilihan warna Carbon Grey dan Topaz Gold. Ia boleh dibeli dari rangkaian kedai HTC ataupun secara atas talian menerusi 11 Street. Kepada yang mencari aksesori, buat masa ini hanya kerangka Ice View dibawa masuk dan dijual pada harga RM 159 sebuah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd