Cari @ Amanz

Xperia X20160718_131918-001

Peranti Sony Xperia Z dihentikan dan digantikan pula oleh Xperia X. Nama jenama Sony akan suram tahun lalu kerana kegagalan Xperia Z5. Di dalam ulasan yang ditulis kami kecewa dengan rekaan peranti yang tidak selesa dipegang, masalah peranti mudah panas dan kamera yang mengecewakan walaupun bersensor besar. Xperia Z5 mungkin peranti paling mengecewakan pernah kami ulas kerana Xperia Z3 yang muncul sebelumnya adalah antara peranti terbaik pernah kami gunakan.

Sony Xperia X ialah peranti kelas pertengahan di dalam keluarga Xperia X. Terdapat XA yang mempunyai spesifikasi lebih rendah dan X Performance yang lebih berkuasa. Xperia X menggabungkan pemproses kelas pertengahan dengan kamera dari peranti utama. Dengan dua kombinasi ini Sony berharap akan dapat memulihkan nama mereka di dalam arena peranti mudah alih. Persoalannya adakah Xperimen ini menjadi?

Spesifikasi

Sony Xperia X
Skrin 5.0″ IPS LCD FHD (441 ppi)
Chipset Qualcomm Snapdragon 650
CPU 1.8 GHz Cortex A-72 Dua Teras

1.4 GHz Cortex A-53 Empat Teras

GPU Adreno 510
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 23 Megapixel f/2.0, PDAF, Rakaman 1080P 60FPS
Kamera Depan 13 Megapixel f/2.0, Rakaman 1080P
Bateri 2620 mAh (Pengecasan pantas)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano/ 4G LTE Cat 6
Jalur LTE  1,2,3,4,5, 7,8,12 , 17, 19 , 20, 26, 28, 38, 39, 40, 41
Pengimbas Cap Jari Ya
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 2499

Sony Xperia X mempunyai skrin yang agak kecil sebesar 5″. Skrin IPS LCD ini mempunyai resolusi HD penuh. Pada saiz skrin seperti ini resolusi QHD tidak diperlukan. Sistem kawalan warna X-Reality disertakan seperti pada peranti Xperia Z.

Pemproses enam teras Snapdragon 650 dipadankan dengan RAM sebesar 3 Gigabyte dan storan 32 Gigabyte. Kepada mereka yang memerlukan storan tambahan, kad MikroSD sehingga 256 Gigbayte disokong. Peranti ini menyokong dua SIM bersaiz nano dan talam kedua digunakan sebagai slot kad MikroSD.

Kemampuan optik pula ialah kamera utama 23 Megapixel f/2.0 pada bahagian belakang dengan sistem pemfokusan PDAF. Kamera hadapan pula sebesar 13 Megapixel f/2.0. Kamera belakang mampu merakam video pada resolusi maksimum 1080P 60 FPS.

Kapasiti bateri yang digunakan pula ialah 2620 mAH dengan sokongan pengecasan pantas. Bateri tidak boleh ditanggalkan dan pengecasan dilakukan menerusi slot Mikro-USB. Terdapat juga sokongan NFC tetapi aneh sekali ia terletak pada bahagian hadapan. Ini mungkin peranti pertama dengan lokasi NFC pada panel hadapan. Biasanya ia terletak pada panel belakang. Tidak seperti peranti Xperia lain, lokasi NFC ini tidak ditanda dengan logo NFC yang jelas. Kepada yang tidak membaca manual mereka mungkin tidak menyedari lokasi sentuhan NFC yang aneh ini.

Rekaan

Rekaan Xperia X memperbaiki pelbagai kelemahan yang ditemui pada Xperia Z5. Sisi kini lebih bulat bagi memastikan ia lebih selesa dipegang. Kaca hadapan 2.5D pula memastikan jari dapat bergerak dengan lebih lancar dari skrin ke sisi peranti. Sebelum ini pada Z5 terdapat halangan besi yang membuatkan peranti amat tidak selesa digunakan. Sungguhpun rekaannya tidak banyak berbeza dengan Xperia X Performance, Xperia X tidak kalis air.

Pada bahagian hadapan sistem pembesar suara stereo dikekalkan. Kerana peranti tidak kalis air, kekuatan pembesar suaranya jauh lebih lantang berbanding pada Z5. Ini ialah kerana ketiadaan selaput menutupi pembesar suara bagi mengelakkan  air dari memasuki peranti.

Sisi kanan peranti diletakkan butang kuasa merangkap pengimbas cap jari, butang kawalan suara dan juga butang khas pengatup kamera. Pengimbas cap jari yang digunakan kali ini berfungsi dengan cukup pantas dan tepat. Ini adalah beza langit dan bumi dari yang ditemui pada Z5. Kami langsung tidak mengalami masalah ia gagal mengimbas cap jari kami. Tahniah Sony kerana berjaya memperbaiki masalah yang amat menjengkelkan Z5 dengan pantas. Sungguhpun begitu penggunaan pengimbas jari pada sisi kanan membuatkannya tidak mesra kepada pengguna kidal. Ini ialah sebab mengapa peranti lain di pasaran meletakkan pengimbas cap jari pada panel belakang ataupun hadapan. Dua posisi ini membolehkan pengimbas jari digunakan oleh pengguna bertangan kanan dan juga kidal.

Seperkara lagi kerana penggunaan butang pengimbas yang agak besar, butang kawalan suara terpaksa diletakkan jauh di bawah. Lokasi ini amat tidak mesra pengguna. Ia hanya selesa digunakan sebagai butang zoom apabila peranti dipegang pada posisi landskap untuk mengambil gambar. Slot SIM dan MikroSD terletak pada sisi kiri manakala pada bahagian atas pula terdapat bicu audio 3.5mm. Akhir sekali slot pengecasan Mikro-USB terletak pada bahagian bawah.

Panel belakang diperbuat sepenuhnya daripada logam. Bahan yang digunakan tidak berkilat dan tidak memerangkap cap jari dengan mudah. Panel logam ini juga memastikan ia lebih tahan lasak berbanding kaca yang digunakan pada Z3, Z4 dan Z5. Dari pengalaman peribadi, panel kaca pada bahagian belakang ini amat mudah retak.

Secara keseluruhan kami menyukai rekaan Xperia X kerana ia amat selesa dipegang, terasa premium dan memperbaiki kelemahan yang ditemui pada Z5 sebelum ini.

Antaramuka

Android 6.1 Marshmallow digunakan dengan pelancar rekaan Sony. Pelancar baru yang digunakan ini hanya melakukan perubahan kecil ke atas antaramuka Android Stock. Seperti yang boleh dilihat di bawah Sony masih mengekalkan aplikasi buatan sendiri seperti Album, Video dan Music. Aplikasi dengan fungsi serupa yang dihasilkan Google seperti Google Photos turut disertakan. Ini menambahkan penggunaan ruang storan. Tidak seperti pada HTC 10, Sony masih belum bersedia untuk meninggalkan aplikasi rekaan mereka dan menggunakan aplikasi Google secara menyeluruh.

Kerana perubahan yang kecil kepada Android Stock, antaramuka Xperia X berfungsi dengan amat lancar. RAM sebesar 3 Gigabyte sedikit sebanyak memastikan stigma sela masa Android boleh ditong sampahkan. Tiada masalah ditemui sepanjang tempoh ulasan.

Berikut ialah beberapa fungsi tambahan yang disertakan oleh Sony pada peranti ini bagi memudahkan penggunaannya setiap hari.

Dwi-Tap– Menyahkunci dengan pantas dengan menekan skrin sebanyak dua kali.

Themes – Mengubah tema antaramuka. Puluhan teman boleh dimuat turun secara percuma dan berbayar bergantung kepada kehendak pengguna.

Melancarkan Kamera Dengan Pantas – Tekan butang kuasa sebanyak dua kali untuk melancarkan aplikasi kamera dengan pantas.

Lifelog – Aplikasi menjejak kecergasan tubuh. Jumlah langkah yang diambil setiap hari serta tabiat penggunaan peranti dapat dilihat dengan teliti. Kini anda boleh mengetahui aplikasi apakah yang paling kerap anda gunakan serta masa yang dihabiskan menggunakannya.

Sony-Xperia-X-UI-1 Sony-Xperia-X-UI-2 Sony-Xperia-X-UI-3

Kamera

Kamera utama 23 Megapixel f/2.0 PDAF dipadankan dengan kamera selfie 13 Megapixel f2.0. Ini meletakkan Xperia X sebagai peranti kelas pertengahan dengan kombinasi saiz kamera terbesar di pasaran. Pada tetapan paling tinggi 23 Megapixel gambar diambil pada nisbah 4:3. Untuk mengambil gambar pada nisbah 16:9, resolusi diturunkan 20 Megapixel. Kemampuan mengambil video tertinggi pula ialah 1080P 60FPS. Sistem penstabilan elektronik digunakan. Peranti keluaran Sony memang tidak menggunakan sistem OIS walaupun pada peranti utama.

Seperti biasa antaramuka aplikasi kamera adalah kemas tetapi kurang mesra pengguna. Untuk mengubah ke mod video dari mod rakaman gambar, pengguna perlu mentatal skrin. Tiada butang kamera dan video dipaparkan serentak pada skrin. Pelbagai tetapan boleh dimuat turun seperti AR Effect,  Sound Photo, Sweep Panorama dan Creative Effect.

Kami merasakan kamera peranti ini agak perlahan jika dibandingkan dengan peranti kelas pertengahan yang lain. Masa diambil untuk gambar diambil selepas butang kamera ditekan adalah amat ketara. Akibatnya subjek yang ingin diambil sudah bergerak mengakibatkan gambar menjadi kabur.Saiz sensor yang besar mungkin mengakibatkan kamera mengambil sedikit masa untuk memproses gambar yang diambil.

Sony-Xperia-X-CAMMegapixels bukanlah segalanya. Kami yakin ramai pengguna sekarang menyedari saiz sensor yang besar tidak semestinya bermakna gambar yang diambil akan secara magis berkualiti. Seperti pada Xperia Z5 sebelum ini, sensor yang besar pada Xperia X adalah mengecewakan.

Pada keadaan pencahayaan yang baik kualiti gambar yang diambil boleh dikatakan sempurna. Penghasilan warna yang tepat dan ketajaman yang memuaskan dapat dilihat. Apabila di dalam situasi sebaliknya kelemahan mula kelihatan. Pada waktu malam gambar yang diambil menjadi kelam dengan penghasilan warna yang kusam. Di waktu malam juga kamera menjadi sedikit perlahan. Sistem automatik yang digunakan mengambil masa sebelum gambar diambil. Hasilnya ialah gambar yang kabur kerana objek yang sudah bergerak. Tambah mengecewakan kesemua sumber cahaya menjadi terlalu terang. Contoh terbaik ialah logo pada Apple Store Santa Monica di bawah. Kami ada mengambil gambar menggunakan Samsung Galaxy S7 dan kualiti gambar yang diambil amat jauh berbeza.

Mungkin ada yang akan mengatakan perbandingan ini kurang adil kerana Xperia X ialah peranti kelas pertengahan. Tetapi harus diingatkan beza harga Galaxy S7 dan Xperia X hanyalah RM 300. Jika anda mahukan kemampuan kamera yang jauh lebih baik, S7 adalah pilihan lebih bijak.

Ini ialah perkara aneh tentang Sony. Mereka menghasilkan sensor terbaik untuk kegunaan pesaing tetapi apabila digunakan pada peranti sendiri sensor yang sama gagal mengambil gambar yang setanding.

Sony Xperia X002 Sony Xperia X006Sony Xperia X003 Sony Xperia X004 Sony Xperia X005 Sony Xperia X001

Penanda Aras

Menerusi tiga ujian penanda aras jelas kelihatan Xperia X mempunyai kemampuan memproses yang baik. Ia hanya sedikit di belakang Xiaomi Redmi Note 3 yang turut menggunakan pemproses Snapdragon 650. Malahan agak mengejutkan ia mencatatkan markah lebih tinggi berbanding Vivo V3 Max yang menggunakan Snapdragon 652. Markah yang dicatatkan ialah 25227 markah pada Quadrant, 78165 markah pada Antutu dan 18005 markah pada Futuremark.

Pada penggunaan harian peranti ini berfungsi dengan amat lancar tanpa sebarang sela masa. Penukaran aplikasi dilakukan dengan baik. Tiada masalah aplikasi terhenti secara tiba-tiba atau gagal digunakan sama sekali. Pemproses Snapdragon 650 ini juga tidak menunjukkan masalah pemanasan melampau walaupun ketika GPS digunakan. Untuk kegunaan harian Xperia X lulus dengan cemerlang.

Xperia-X-Bench


Bateri

Bateri sebesar 2620 mAh yang disertakan adalah agak kecil. Majoriti peranti di pasaran sekarang dilengkapi bateri sebesar 3000 mAh keatas. Tetapi ia hanya perlu menguasai pemproses Snapdragon 650 dan skrin sebesar 5″. Oleh itu pada penggunaan biasa ia mampu bertahan hampir 24 jam dengan skrin terpasang selama 5 jam 50 minit. Ini adalah ketahanan bateri yang baik tetapi tidak sebaik Redmi Note 3 yang mampu bertahan 31 jam dengan skrin terpasang hampir 9 jam. Harus diingatkan Redmi Note 3 menggunakan pemproses yang sama dan bateri sebesar 4000 mAh.


Pesaing

Sony Xperia X memasuki pasaran dan bersaing dengan Vivo V3 Max dan Xiaomi Redmi Note 3. Ketiga-tiga peranti kelas petengahan ini diperkasakan dengan pemproses dari keluarga Snapdragon 6XX.

Peranti Pesaing
Sony Xperia X Vivo V3 Max Xiaomi Redmi Note 3
5.o” IPS LCD FHD (441 PPI) 5.5″ IPS LCD FHD (401 PPI) 5.5″ IPS LCD FHD (403 PPI)
1.8 x 2 + 1.4 x 4 GHz Snapdragon 650 1.8 x 4 + 1.4 x 4 GHz Snapdragon 652 1.8 x 2 + 1.4 x 4 GHz Snapdragon 650
Adreno 510 Adreno 510 Adreno 510
3 Gigabyte 4 Gigabyte 3 Gigabyte
32 Gigabyte (246 GB MikroSD) 32 Gigabyte (128 GB MikroSD) 32 Gigabyte (128 GB MikroSD)
Kamera Utama 23 Megapixel f/2.0,PDAF Kamera Utama 13 Megapixel PDAF Kamera Utama 16 Megapixel f/2.0 PDAF
Kamera Hadapan 13 Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 8 Megapixel Kamera Hadapan 5 Megapixel f/2.0
2620 mAH (Tidak boleh dibuka) 3000 mAh (Tidak boleh dibuka) 4000 mAh (Tidak boleh dibuka)
RM 2499 RM 1399 RM 849

Kesimpulan

Sony Xperia X ialah peranti kelas pertengahan yang mempunyai kemasan serta kemampuan yang baik. Secara ikhlasnya peranti kelas pertengahan 2016 adalah setanding dengan peranti utama tahun lalu tetapi  dengan pengurangan pada kemampuan kamera. Peranti ini memperbaiki banyak kelemahan yang kami temui pada Xperia Z5. Ia amat selesa dipegang kerana bahagian sisi yang dibulatkan. Penggunaan kaca 2.5D pada skrin membuatkan pergerakan jari dari skrin ke sisi tidak lagi terhalang. Panel logam pada panel belakang pula menyelesaikan masalah ia mudah kotor kerana memerangkap cap jari dan panel kaca yang mudah pecah.

Pemproses Snapdragon 650 yang digunakan serta RAM 3 Gigabyte memastikan peranti berjalan dengan cukup lancar tanpa sela masa. Kami tidak menemui sebarang masalah sepanjang tempoh ulasan. Masalah kepanasan yang amat ketara pada Xperia Z5 tidak muncul pada Xperia X.

Xperia X 20160718_134744-009

Namun begitu ia masih mengekalkan rekaan pengimbas cap jari Z5 yang amat tidak kami gemari. Ia jauh lebih pantas dan responsif namun kedudukannya pada sisi kanan membuatkan pengguna kidal seakan tersisih. Posisi pengimbas jari yang besar ini juga mengakibatkan butang suara terpaksa diletakkan jauh ke bawah sisi kanan. Ini menyukarkan proses mengubah tahap kekuatan suara. Kami amat merindui rekaan OmniBalance yang pernah digunakan Sony dahulu. Rekaan tersebut jauh lebih mesra pengguna dari apa yang digunakan sekarang.

Kemampuan kamera Xperia X juga hanya sederhana. Sensor yang digunakan mungkin besar namun kualiti gambar tidak menunjukkan sebarang peningkatan dari kamera 16 Megapixel yang ditemui pada Redmi Note 3 misalnya. Kami mempunyai harapan tinggi terhadap kemampuan optik Xperia X kerana ia buatan Sony. Gambar agak gelap dengan masalah dedahan berlebihan jelas kelihatan apabila diambil pada waktu malam. Penghasilan warna juga tidak tepat. Pujian hanya boleh diberikan kepada sistem penstabilan elektronik ketika mengambil video. Video diambil amat lancar sungguhpun kamera digerakkan dengan pantas.

Dengan harga jualan RM 2499, Sony Xperia X adalah jauh lebih mahal berbanding pesaing dengan harga berpadanan. Ini membuatkan kami sukar untuk mengesyorkannya kepada pengguna. Di akhir hari Xperia X ialah peranti kelas pertengahan yang amat baik tetapi jual pada harga menghampiri peranti utama. Hanya peminat tegar Sony Xperia mungkin akan membelinya pada harga sekarang.

Kelebihan Kekurangan
  • Peranti amat selesa dipegang. Tiada masalah seperti Xperia Z5 sebelum ini.
  • Saiz kecil memudahkan penggunaan secara sebelah tangan.
  • Sokongan pengecasan pantas.
  • Peranti lancar digunakan tanpa sebarang masalah.
  • Antaramuka semakin menghampiri Android Vanilla.
  • Pembesar suara stereo
  • Harga tidak munasabah untuk peranti kelas pertengahan.
  • Pengimbas cap jari tidak mesra pengguna kidal.
  • Lokasi butang suara yang jauh ke bawah.
  • Lokasi NFC yang aneh pada panel hadapan.

Skor-Sony-Xperia-X

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd