Cari @ Amanz

Facebook ialah laman media sosial nombor satu dunia dengan lebih 1 Billion pengguna aktif bulanan. Mereka di tangga teratas kerana laman yang jarang mengalami gangguan, dipenuhi pelbagai fungsi menarik dan mempunyai aplikasi yang boleh digunakan pada hampir kesemua peranti di dunia. Dianggarkan 90% pengguna Facebook mengakses laman ini menerusi aplikasi peranti pintar. Bagi memastikan aplikasi yang dihasilkan boleh digunakan tanpa masalah, aplikasi akan terlebih dahulu diuji di makmal ujian peranti mereka yang terletak di Prineville Oregon.

Facebook Makmal Peranti 3

Terdapat lebih daripada 2000 peranti pintar di dalam makmal ujian ini.  Peranti disimpan di dalam kotak besi khas yang mampu menempatkan 32 peranti serentak. Setiap kotak mempunyai pemancar WiFi tersendiri bagi memastikan kesemua peranti diuji disambungkan kepada kelajuan internet yang seragam – dan antara ujian yang dilakukan dengan setiap kemaskini perisian ialah ketahanan bateri dan penggunaan memori. Pada awalnya makmal peranti ini terletak di Menlo Park dengan hanya 100 peranti yang disusun pada tepi dinding. Dengan perkembangan jumlah peranti dan sistem operasi, ruang makmal bertambah sehingga terpaksa dipindahkan ke Prineville.

Makmal ujian ini akan terus berkembang. Facebook bercadang menambah kapasiti kotak ujian dengan 64 peranti di masa hadapan. Ujian menyeluruh ini akan memastikan pengguna tidak akan merungut selepas aplikasi dikemas kini kerana masalah pepijat.

Facebook Makmal Peranti 2

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd