Rise of The Tomb Raider ialah sambungan kepada pengembaraan Lara Croft di dalam Tomb Raider yang muncul pada tahun 2013. Permainan ini eksklusif kepada platform PC dan Xbox One selama setahun. Kepada pemilik PlayStation 4, tarikh pelancarannya untuk platform anda ialah pada 11 Oktober hadapan. Kerana penantian selama setahun, versi ini dinamakan kepada Rise of The Tomb Raider 20 Year Celebration.
Selain permainan asal kesemua DLC yang telah dikeluarkan akan turut disertakan di dalam pakej lengkap. Ini termasuk DLC Baba Yaga: The Temple of the Witch, Cold Darkness Awakened, 12 pakaian tambahan, 7 senjata, dan 35 Expedition Cards. Dua DLC premium baru Blood Ties & Lara’s Nightmare turut diberikan. Di dalam dua DLC ini pemain boleh mengembara Croft Manor dan memperlahankannya dari serangan zombie. Mod khas yang menyokong PlayStation VR akan membolehkan pemain menerokai misteri Croft Manor dari pandangan mata Lara Croft.
Kepada yang mahukan cabaran, tahap kesukaran Extreme Survivor dihasilkan di mana permainan tidak disertakan sistem checkpoint. Akhir sekali Endurance Mode membolehkan dua pemain bermain secara serentak di atas talian untuk kekal hidup ketika diserang musuh. Jelas sekali selepas menanti selama setahun Crystal Dynamic memberikan pakej paling lengkap permainan ini kepada pemilik PlayStation 4. Sebagai peminat Tomb Raider dan pemilik PlayStation 4, harus kami akui pakej yang diberikan amat mengujakan.