Carian
Jualan Jam Tangan Pintar Menyusut – Apple Watch Dengan Penurunan Terbesar
July 22, 2016 Effi Saharudin

Di pejabat Amanz ada beberapa ahli redaksi yang memakai jam tangan pintar. Saya berhenti memakai kerana tali Gear S2 yang sudah terputus dan kesempitan wang untuk membeli tali baru. Golongan pemakai jam tangan pintar pada hemat kami masih lagi tergolong di kalangan minoriti. Ledakan kepopularan jam tangan pintar yang diramalkan berlaku selepas Apple Watch tidak berlaku. Angka baru jualan jam tangan pintar menunjukkan penurunan dan Apple Watch menunjukkan penyusutan terbesar.

IDC jam tangan pintar 2016

Menurut IDC pada suku kedua 2016, jualan jam tangan pintar menyusut 32% berbanding suku yang sama tahun lalu. Hanya 3.5 Juta jam tangan terjual pada suku yang lalu. Apple berjaya menjual 1.6 Juta Apple Watch tetapi ini bersamaan dengan pengurangan sebanyak 57% berbanding tahun lalu. Sungguhpun begitu ia masih utuh di tangga pertama. Ini diikuti oleh Samsung dengan jualan sebanyak 0.6 Juta unit. Ini adalah peningkatan sebesar 51% berbanding tahun lalu. Pegangan pasaran turut meningkat dari 7% ke 16% peratus. Jenama Lenovo, LG dan Garmin mengikuti di belakang Samsung di dalam senarai jam tangan pintar paling laku.

Penyusutan jualan Apple Watch dipercayai berlaku kerana pengguna sedang menantikan model terbaru Apple Watch yang dijangka tiba tahun ini. Jualan Samsung meningkat kerana pakej yang menyertakan jam tangan pintar dengan telefon pintar mereka. Bagaimana pula dengan pembaca Amanz? Adakah anda memiliki jam tangan pintar? Sekiranya tidak mengapakah anda tidak memilikinya?

Komen