Cyanogen Inc Menghentikan Sejumlah Pekerja – Mungkin Lebih Memfokuskan Pembangunan Aplikasi Selepas Ini

Cyanogen Inc Menghentikan Sejumlah Pekerja – Mungkin Lebih Memfokuskan Pembangunan Aplikasi Selepas Ini

Diterbitkan pada July 23, 2016 oleh .

Cyanogen Inc merupakan salah satu nama yang tidak asing dalam arena Android. Mereka hadir dengan sistem operasi Android tersendiri yang menawarkan beberapa pengoptimasian dan ciri tambahan – pada masa yang sama menawarkan pengalaman Android yang baik. Ia telah dimulakan melalui projek komuniti CyanogenMod, sebelum mula beroperasi sebagai sebuah syarikat.

Sejak beroperasi sebagai syarikat, mereka telah bekerjasama dengan beberapa syarikat dalam menggunakan sistem operasi keluaran mereka pada peranti. Salah satu yang syarikat yang menggunakannya adalah OnePlus. Cyanogen juga sebelum ini telah bekerjasama dengan Microsoft untuk menyertakan aplikasi Micrososft pada Cyanogen OS.

CyanogenMod

Namun, ia dilihat keadaan syarikat mereka tidak begitu baik. Terkini, ia dilaporkan Cyanogen telah mengurangkan tenaga kerja mereka hampir 20% – dimana kebanyakkan yang terlibat adalah mereka yang bekerja pada bahagian sumber-terbuka untuk ROM berkenaan.

Perkara ini mungkin tidak memberikan impak besar kepada CyanogenMod yang masih mempunyai sokongan meluas daripada komuniti dalam pembangunan ROM. Pada masa yang sama, laporan Android Police mengatakan Cyanogen Inc mungkin akan mengubah strategi mereka dengan lebih memfokuskan kepada “aplikasi”.

Sebelum ini, Cyanogen Inc telah berkongsi mengatakan mereka ingin hadir dengan versi Android yang bebas daripada integrasi pelbagai perkhidmatan Google dan menawarkan lebih pilihan kepada pengguna. Sejak daripadanya, pelbagai perubahan telah berlaku, termasuk OnePlus yang menggunakan Cyanogen OS beralih kepada sistem operasi mereka tersendiri, Oxygen OS.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi apakah strategi baru Cyanogen Inc, dan apakah yang dimaksudkan dengan peralihan fokus terhadap “aplikasi” ini.


TIPS & ULASAN