Wabak malaria dihidapi 214 Juta individu tahun lalu. Dari jumlah ini hampir 500 000 menemui maut kerana kegagalan mendapatkan rawatan dengan segera. Ini ialah jumlah yang jauh lebih tinggi dari berbanding mangsa keganasan dan AIDS. Tetapi kita jarang sekali mendengar kempen anti malaria dengan artis barat menggesa orang ramai menderma. Ini mungkin kerana 81% kes jangkitan dan 91% ke kematian berlaku di benua sub-Sahara Afrika. Ketiadaan infrastruktur kesihatan yang sempurna serta kemiskinan menyebabkan penyakit ini terus berleluasa.
Pembangunan vaksin masih belum berjaya. Maka pencegahan yang lebih mampu milik harus dibangunkan bagi mengurangkan jumlah kematian. Di Ethiopia penyelidik menemui teknik menarik bagi menentang malaria. Mereka mendapati dengan menggantungkan ayam di atas katil ketika tidur, jumlah nyamuk dari spesis Anopheles arabiensi berkurangan dengan mendadak. Memandangkan wabak malaria disebarkan melalui gigitan nyamuk, tenik membasmi yang aneh tetapi mampu milik ini dapat digunakan dengan meluas.
Penyelidik mendapati bau yang dirembeskan oleh ayam hidup tidak digemari oleh nyamuk. Ayam juga didapati tidak pernah digigit nyamuk. Ekstrak bau ayam ini kini sedang dihasilkan untuk dijadikan alat penghalau nyamuk yang berkesan. Di dalam dunia yang semakin moden yang mengetengahkan teknologi terkini untuk menentang penyakit, adalah menarik melihat teknik menggantungkan ayam dapat melakukan perkara yang sama.
Di Brazil nyamuk yang dimandulkan dengan radiasi sinar gamma dilepaskan oleh pihak pemerintah bagi membentung Virus Zika awal tahun ini. Kos menggunakan teknik ini dilaporkan tinggi. Ini membuatkan kami terfikir. Berapa banyakkah petua orang tua untuk mengelakkan penyakit kedengaran seperti teknik merepek tetapi sebenarnya mempunyai sebab saintifik yang belum dikaji sepenuhnya?