Acer Malaysia hari ini telah memperkenalkan desktop bersaiz kompak dan mini mereka yang terbaru untuk pasaran tempatan, iaitu Acer Aspire X3 dan juga Acer Aspire XC.
Acer Aspire X3 dan juga Aspire XC ini hadir dengan cip pemprosesan Intel generasi ke-6 yang hadir dalam beberapa variasi pilihan cip bersesuaian dengan penggunaan anda. Disamping itu, pengguna diberikan pilihan untuk memori sehingga 32GB RAM, dan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 745.
Desktop bersaiz mini ini turut hadir dengan integrasi sokongan WiFi, memudahkan anda berhubung kepada rangkaian tanpa memerlukan sebarang dongle tambahan. Seperti kebanyakkan desktop lain, ia turut hadir dengan pelbagai port untuk pengguna menghubungkan peranti mereka kepadanya.
Membezakan kedua-dua model Aspire X3 dan Aspire XC selain daripada spesifikasi adalah penawaran tambahan untuk Aspire X3, iaitu sebuah pad pengecasan tanpa-wayar yang boleh dibeli secara berasingan dan dipasang pada desktop. Melaluinya, pengguna boleh meletakkan peranti mereka diatasnya, dan mengecas dengan mudah ketika sedang melakukan tugasan menggunakan desktop.
Acer Aspire X3 dijual di Malaysia bermula bulan Ogos ini pada harga RM3499, sementara Acer Aspire XC pula berharga RM1599.