Cari @ Amanz

Sebanyak 1 Billion iPhone telah terjual setakat ini. Pengumuman ini dilakukan oleh Apple semalam dan peranti ke seribu juta ini dijual pada minggu lalu. Apple mengambil masa tujuh tahun untuk mencecah angka keramat ini. Sebagai peringatan iPhone pertama sekali dijual pada 29 Jun 2007. Ini jelas menunjukkan iPhone ialah antara peranti paling laku dalam sejarah teknologi dan masih didambakan pengguna.

iPhone 1 Bilion

Tetapi pada waktu yang sama jualan peranti ini menunjukkan penurunan sejak kebelakangan ini. Seperti yang dilaporkan semalam iPhone menunjukkan penurunan jualan sebanyak 15% berbanding suku yang sama tahun lalu. Trend penurunan jualan turun dilihat pada iPad dan Macintosh. Sesuatu perlu dilakukan bagi meningkatkan semula jualan.

Model paling terkini adalah iPhone SE yang telah diperkenalkan pada awal tahun ini. Disamping itu, Apple juga kini dalam persiapan memperkenalkan satu lagi iPhone generasi baru sekitar bulan September kelak. Ia boleh dikatakan iPhone merupakan salah satu peranti yang merevolusikan penggunaan peranti mudah-alih – dan kebanyakkan fungsi yang diperkenalkan pada iPhone menjadi popular dengan pantas dikalangan pengguna.

Mengikut desas-desus terbaru, Apple dikatakan mungkin membuang port audio pada iPhone akan datang – yang mana tidak mustahil akan membuat penyedia aksesori mengubah port yang digunakan pada peranti audio masing-masing dalam tahun akan datang.

Pada tahun 2005 Nokia berjaya menjual peranti ke 1 Billion mereka iaitu sebuah Nokia 1100 di Nigeria. Sembilan tahun selepas itu jenama Nokia pupus dari pasaran selepas diambil alih oleh Microsoft. Kegagalan meneruskan inovasi dan bangga dengan pencapaian sedia ada boleh membawa maut. Apa yang berlaku kepada Nokia, Yahoo dan Liverpool harus dijadikan iktibar.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd